Siakap Keli
Click Ittefaq

Australia Lahir Keinginan Sertai Kejohanan Piala AFF Suzuki 2020

Skuad kebangsaan Australia dikhabarkan berminat untuk menyertai Kejohanan Piala AFF Suzuki 2020, satu kejohanan bola sepak peringkat Asia Tenggara yang diadakan setiap dua tahun.

Walaupun menjadi ahli kepada ASEAN Football Federation (AFF) sejak 2013, Australia bagaimanapun dilarang daripada menyertai kejohanan berkenaan disebabkan status pasukan kebangsaan negera itu yang jauh lebih tinggi daripada negara-negara ASEAN yang lain.

Namun begitu, dengan perkembangan arena bola sepak di beberapa buah negara antaranya Thailand dan Vietnam, terutamanya Vietnam yang mampu memberi cabaran di peringkat Asia, Australia merasakan kini sudah tiba masanya mereka turut serta merebut Piala AFF Suzuki.

”Sebahagian daripada evolusi kami dalam mengeratkan hubungan dengan ASEAN adalah melihat peluang untuk menyertai kejohanan ini.

”Dahulu kami dikatakan terlalu kuat untuk dihadapi negara-negara lain, bagiamanapun dengan pekembangan yang ditunjukkan oleh beberapa negara, ia sudah tidak jauh berbeza dengan skuad Australia.

”Bebaloi untuk diteroka kerana kehadiran kami akan menambah nilai komersial kejohanan ini,” kata Presiden Federasi Bola Sepak Australia (FFA), David Gallop.

Perbincangan awal untuk melihat kemungkinan tersebut berlaku sedang dijalankan antara FFA dengan AFF. Malah, perbincangan antara kerajaan dengan kerajaan juga dikatakan menujukkan tanda-tanda positif.

Kejohanan Piala AFF Suzuki adalah antara acara terbesar di rantau ini dengan penganjuran tahun lepas menyaksikan purata kehadiran ke stadium adalah seramai 29 ribu penonton.

Australia bagaimanapun perlu meneliti beberapa perkara terlebih dahulu memandangkan tarikh kejohanan ini diadakan biasanya bertembung dengan aksi saingan liga tempatan, A-League.

Kehadiran Australia dalam kejohanan ini yang merupakan wakil Asia yang beraksi di Piala Dunia bakal memberikan saingan sengit kepada 11 negara Asia Tenggara terutamanya untuk beberapa negara yang masih belum membawa pulang trofi ini ke laman sendiri.

Sumber: The Sydney Morning Herald

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.