Siakap Keli
Gambar Hiasan

Kementerian Nafi Laporan Dakwa Pelajar Hindu Dipaksa Belajar Pendidikan Islam

Kementerian Pendidikan (KPM) hari ini menafikan laporan media semalam yang melaporkan mengenai seorang murid beragama Hindu dipaksa belajar Pendidikan Islam di sebuah sekolah di negeri ini.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Amin Senin sebaliknya berkata pihak sekolah tidak pernah memaksa pelajar berkenaan mengikuti Pendidikan Islam dan semakan KPM mendapati murid berkenaan  mengikuti subjek Pendidikan Moral sejak mula alam persekolahan pada 2017 sehingga tahun ini.

“Pihak sekolah telah membolehkan murid berkenaan mengikuti Pendidikan Moral berdasarkan maklumat yang diberikan oleh bapanya tanpa mengemukakan sijil kelahiran murid itu.

“Berdasarkan maklumat awal yang diberikan bapanya, pihak sekolah menganggap murid berkenaan beragama Hindu dan membolehkan beliau mengikuti kelas Pendidikan Moral,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Amin berkata murid terbabit telah diberikan kelulusan oleh Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan pada 2017 untuk didaftarkan sebagai murid tanpa dokumen.

“Bagaimanapun, sehingga kini ibu bapanya tidak menyerahkan salinan sijil kelahiran kepada pihak sekolah sebagaimana yang disyaratkan,” katanya.

Amin berkata semakan terperinci KPM susulan laporan media berkenaan mendapati murid berkenaan  didaftarkan di Jabatan Pendaftaran Negara sebagai seorang beragama Islam dan ibunya juga seorang  beragama Islam.

Katanya, di bawah Akta Pendidikan 1996, setiap murid beragama Islam perlu mengikuti mata pelajaran Pendidikan Islam iaitu subjek teras di bawah Kurikulum Kebangsaan bagi kanak-kanak beragama Islam.

Pihak sekolah berkenaan mematuhinya berdasarkan bukti murid berkenaan adalah seorang yang beragama Islam.

Oleh itu, katanya, tidak timbul isu murid terbabit dipaksa mengikuti Pendidikan Islam.

“KPM memahami situasi yang dihadapi ibu bapa murid berkenaan. Bagaimanapun memandangkan kes status agama ibu murid terbabit dalam proses rayuan di mahkamah, KPM menyerahkan kepada mahkamah untuk memutuskan,” katanya.

Amin berkata tindakan sewajarnya akan diambil kementerian selari dengan keputusan mahkamah kelak.

— BERNAMA

Nur Farra

writ.er / [rahy-ter]
-noun
1. a peculiar organism capable of transforming caffeine into books.

Editor: Nur Farra

Kami Juga Bersosial

Sekiranya anda ingin mendapat berita dari Siakap Keli pada 'News Feed' media sosial, anda boleh ikuti kami di