Siakap Keli
Gambar : Facebook

Kelindan Lori Maut Dirempuh Tayar Treler Tercabut

Slim River : Seorang kelindan lori maut, dilanggar satu tayar treler yang tercabut, yang bergolek di lebuh raya, semasa beliau turun memeriksa kenderaannya di Kilometer 372.8 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Muallim, Supt Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata Abdul Rashid Abdul Rahman, 29, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di beberapa anggota badan, dalam kejadian kira-kira pukul 5.20 pagi itu.

Katanya kejadian bermula apabila lori yang dipandu rakannya Zaidi Abdullah, 30, yang sedang dalam perjalanan dari Teluk Intan ke Kuala Lumpur, berhenti di lorong kecemasan selepas dikatakan terdengar ‘bunyi’ di belakang lori itu.

“Abdul Rashid turun dahulu untuk memeriksa keadaan tayar dan sebaik turun, sebiji tayar dipercayai milik treler yang tidak dapat dikesan, tercabut dan bergolek melalui celah antara penghadang besi (tepi jalan) sebelum menghentamnya,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata mayat dibawa ke Hospital Slim River untuk bedah siasat, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, dan menurutnya polis sudah menghubungi PLUS untuk memeriksa kamera litar tertutup (CCTV) yang berada di Kilometer 372 yang merakam kejadian itu bagi membantu siasatan.

Sabtu lepas, di sekitar kawasan yang sama, sebuah lori tangki minyak diesel terbakar hingga meragut nyawa pemandu lori berkenaan setelah ia merempuh sebuah lori membawa muatan besi yang mengalami kerosakan dan berhenti di lorong kecemasan di Kilometer 372 Lebuhraya PLUS arah utara, dekat Slim River.

Sumber : Bernama

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.