Siakap Keli
Gambar Hiasan

Saintis Suntik Nanopartikel Pada Tikus, Berikan Haiwan Itu Fungsi Penglihatan Malam

Sepasukan saintis daripada Universiti Sains dan Teknologi, China mendakwa berjaya memberikan tikus makmal keupayaan pandangan malam melalui suntikan nanopartikel.

Tikus, seperti mamalia lain termasuk manusia tidak boleh melihat dalam kegelapan malam. Bagaimanpun dengan suntikan nanopartikel mengandungi photoreceptor, pasukan penyelidik berkenaan mendakwa tikus boleh melihat cahaya infra merah. Malah, suntikan yang diberikan juga didakwa tidak memberi kemudaratan kepada tikus tersebut.

Sebaik disuntik, nanopartikel berkenaan melekat pada bahagian retina dan berfungsi sebagai near-infrared (NIR) light transducers. NIR dengan kata lain bermaksud ia menangkap cahaya inframerah sebelum menghantarnya kepada retina sebagai cahaya boleh dilihat, sekaligus membolehkan mata melihat dalam kegelapan.

Malah, nanopartikel itu juga dilaporkan tidak menjejaskan pandangan siang tikus berkenaan. Selain itu, ia tidak kekal selamanya pada mata, sebaliknya beransur hilang dalam tempoh 10 minggu.

Melalui ujian ini pasukan penyelidik berkenaan percaya bahawa naopartikel juga boleh digunakan untuk membolehkan manusia melihat cahaya-cahaya lain seperti cahaya ultraviolet.

Walaupun masih diperingkat penyelidikan, namun kepentingan pencapaian ini diyakini dapat membantu manusia yang mempunyai masalah buta warna dan juga penglihatan yang terjejas akibat faktor umur.

Kajian ini diterbitkan dalam Journal Scientific Cell pada 28 Februari yang lalu.

Sumber: Toms Guide

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.