Siakap Keli

All England 2019 : Beregu Aaron-Wooi Yik Mara Ke Final

Aksi 59 minit yang mendebarkan akhirnya berpihak kepada beregu lelaki negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik untuk mara ke final kejohanan badminton All England 2019.

Gandingan Aaron-Wooi Yik membuktikan gelaran ‘pembunuh gergasi’ yang menyaksikan pasangan Indonesia Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto menjadi mangsa pada aksi separuh akhir awal pagi ini.

Dalam perlawanan yang berlangsung di Arena Birmingham, pasangan negara mengetepikan beregu Indonesia yang berada di ranking kesembilan dunia dengan 12-21, 22-20, 21-19.

Aaron-Wooi Yik yang bermula dengan baik pada set pertama bagaimanapun mendapat tekanan dan serangan hebat daripada pasangan Indonesia itu tewas pada set pertama, bagaimanapun bangkit di set kedua hingga mengikat kedudukan 20-20.

Pasangan negara yang menghuni ranking ke-18 dunia, turun tanpa tekanan bijak mencuri peluang untuk mengheret perlawanan ke set penentuan apabila menang set kedua 22-20.

Di set ketiga, Aaron-Wooi Yik meningkatkan serangan demi serangan untuk memenangi set ketiga dengan 21-19 sekali gus menempah slot akhir All England pada penampilan sulung mereka.

“Sudah tentu kami sangat gembira hari ini, kami tidak sangka dapat pergi sejauh ini sehingga ke peringkat akhir.

“Saya bagitahu dia (Wooi Yik) untuk tidak fikirkan kemenangan tetapi fikirkan bagaimana untuk mendapatkan mata (perlawanan),” kata Aaron dalam rakaman temu bual di akaun twitter @YonexAllEngland.

Menanti Aaron-Wooi Yik di final, pasangan mantap dari Indonesia Mohamad Ahsan-Hendra Setiawan yang menduduki ranking ketujuh dunia.

“Agak lama Malaysia tidak memasuki final acara beregu lelaki di All England.

“Kami harap dapat tunjukkan kepada peminat Malaysia kemenangan kami,” kata Wooi Yik.

Terdahulu, Mohamad Ahsan-Hendra menewaskan pasangan Jepun Takeshi Kamura-Keigo Sonoda 21-19, 21-16 dalam satu lagi perlawanan separuh akhir.

Sumber :  BERNAMA

fildza Zainal

Kami Juga Bersosial

Sekiranya anda ingin mendapat berita dari Siakap Keli pada 'News Feed' media sosial, anda boleh ikuti kami di