Siakap Keli
Gambar: YouTube

Selepas 25 Tahun Berlalu, Gaun Hospital Yang Dipakai Kurt Cobain Kini Dilelong Dengan Harga £40,000

Gaun hospital yang dipakai oleh bintang rock terkenal Kurt Cobain semasa konsert terakhirnya di England bakal dilelong dengan harganya dibuka bermula dari £40,000 (RM 212,069.46). 

Vokalis kumpulan rock yang terkenal dengan lagu hit seperti ‘Smells like teen spirit’, ‘Come as you are’ dan banyak lagi telah memilih gaya pemakaian yang pelik itu dengan tujuan untuk mengusik pihak media berkenaan dengan spekulasi yang dibuat tentang keadaan kesihatannya ketika konsert mereka di Reading pada 30 Ogos 1992 yang lalu.

Beberapa spekulasi yang mendakwa bahawa kumpulan itu akan membatalkan konsert tersebut telah tersebar sebelum konsertnya bermula berikutan masalah penyalahgunaan dadah yang dihadapi Kurt Cobain sehingga ianya mempengaruhi tahap kesihatan vokalis kumpulan itu.

Kurt Cobain telah diusung menaiki pentas menggunakan kerusi roda sebagai gimik pembukaan konsertnya itu dan berpura-pura pengsan sebelum dia bangun semula dan menghiburkan ribuan peminatnya yang datang.

Kumpulan Nirvana yang turut dianggotai oleh Dave Grohl sebagai pemain dram dan Krist Novoselic sebagai pemain bes merupakan kumpulan rock Grunge yang  terkenal dan sensasi pada ketika itu.

[youtube https://www.youtube.com/watch?v=_TfxqRiMepI]

Konsert itu juga merupakan konsert terakhir kumpulan itu membuat persembahan di England kerana dua tahun berikutnya Vokalis kumpulan Grunge itu ditemui mati membunuh diri di rumahnya.

Menurut Dailymail, Courtney Love yang juga merupakan isteri kepada Kurt Cobain telah memberikan Gaun itu kepada salah seorang peminat Nirvana yang datang pada hari peringatan pemergian vokalis kumpulan Grunge tersohor itu.

Peminat tersebut telah menjaga dan menyimpan gaun itu selama 25 tahun sehingga akhirnya telah mengambil keputusan untuk melelongnya di sebuah pusat lelongan RR Auctions yang terletak di Amerika Syarikat.

Menurut jurucakap RR Auctions, gaun hospital yang dipakai oleh Kurt Cobain itu merupakan aset bertaraf muzium yang berkualiti pernah dipakai oleh beliau semasa zaman kegemilangannya dan menjadi simbol ikonik kerana mempunyai nilai sejarahnya yang tersendiri terutamanya buat peminat-peminat muzik rock.

Aqmal Ezany

I write what is right