Siakap Keli

Pencemaran Sisa Kimia: Pelajar Cemerlang SPM Kecewa Tidak Dapat Kongsi Kegembiraan Di Sekolah

Pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kecewa tidak dapat berkongsi kegembiraan mendapat keputusan cemerlang di sekolah berikutan penutupan semua sekolah di Pasir Gudang ekoran pencemaran pembuangan sisa kimia di Sungai Kim Kim, Khamis lepas.

Bagi pelajar Sekolah Menengah Taman Nusa Damai, Hadif Umair Ahmad Syahir berharap dapat berkongsi kegembiraan di sekolah memandangkan sudah lama tidak menjejakkan kaki ke sekolahnya.

“Saya gembira dapat keputusan ini kerana tidak menjangka langsung dapat straight 9A.

“Tapi saya harap dapat kongsi kegembiraan bersama guru dan rakan yang lain di sekolah,” kata anak sulung itu ketika ditemui pemberita di pusat penyerahan keputusan SPM yang dibuka di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Pasir Gudang di sini, hari ini.

Anak sulung tiga beradik yang meminati bidang sains itu berharap dalang yang menjadi punca kepada pencemaran sisa kimia itu diambil tindakan sewajarnya kerana ia melibatkan nyawa orang ramai terutama pelajar.

Menurut pelajar cemerlang dari Sekolah Menengah Pasir Putih, Nur Dhiya Khalish Mohd Rani, dia yang mendapat keputusan 9A berharap rakan-rakannya tetap kental walaupun ada menjadi mangsa pencemaran sisa kimia itu.

“Saya tahu junior saya sangat kuat dan peperiksaan yang bakal dihadapi itu (peperiksaan pertengahan tahun SPM) tidak akan menjejaskan mereka, saya berharap sekolah dapat dibuka secepat mungkin dan pelajar dapat menimba ilmu seperti sedia biasa,” kata anak bongsu daripada tiga beradik itu.

Dia, yang ingin melanjutkan pelajaran di Matrikulasi, turut berharap agar insiden ini beransur pulih dan orang ramai tidak perlu risau dan gentar untuk melakukan aktiviti harian.

Sebanyak 34 buah kaunter telah dibuka khas bagi memudahkan 8,646 murid yang mengambil SPM tahun lepas di Pasir Gudang mengambil keputusan mereka di pejabat pendidikan daerah ini.

Meskipun kaunter dibuka pukul 10 pagi, namun tempat itu telah dipenuhi dengan ramai pelajar dan ibu bapa yang memakai penutup mulut seawal pukul 9.00 pagi.

Semalam, Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik mengarahkan kesemua 111 sekolah di Pasir Gudang ditutup berkuatkuasa serta merta semalam hingga satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak ekoran bencana pembuangan sisa bahan kimia di Sg Kim Kim Pasir Gudang.

Keputusan SPM yang diumumkan pada hari ini masih boleh diperoleh oleh semua calon bagi daerah Pasir Gudang melalui tiga cara.

Calon boleh melakukan semakan melalui online dengan mengakses laman web Lembaga Peperiksaan di alamat sppat.moe.gov.my atau semakan melalui khidmat mySMS 15888.

Ataupun boleh hadir ke kaunter penyerahan slip SPM di PPD Pasir Gudang dan Sekolah Kebangsaan Kota Puteri 4 di jalan Penaga, Bandar Baru Kota Puteri, Pasir Gudang mulai pukul 10 pagi.

— BERNAMA

Nur Farra