Siakap Keli

Itu Bukan Zulaikha, Individu Tak Bertanggungjawab Guna Gambar Kanak-Kanak Sudah Meninggal Dunia Untuk Kutip Derma

Tular di media sosial ketika ini mengenai berita seorang kanak-kanak menghidapi penyakit kanser darah dan keluarganya memerlukan bantuan daripada segi kewangan untuk tujuan rawatan.

Menurut berita tersebut lagi, kanak-kanak berkenaan didakwa bernama Zulaikha dan berusia 3 tahun. Zulaikha yang berasal dari Pulau Pangkor, Perak juga dikatakan adalah anak yatim yang sudah kehilangan ayah.

Tinggal bersama ibunya, Julia yang berusia 42 tahun, berita tersebut turut menyebut bahawa Zulaikha merupakan anak bongsu daripada 3 orang adik beradik.

Antara lain, penyebar berita berkenaan turut mendakwa bahawa bantuan kewangan diperlukan untuk membeli mesin oksigen berharga RM 4,800 dan ketika ini keluarga berkenaan menyewa mesin berkenaan daripada pihak hospital.

Sehingga kini, berita berkenaan sudahpun dikongsikan lebih 700 kali dan rata-rata netizen menunjukkan rasa simpati terhadap nasib yang menimpa ‘adik Zulaikha’ ini.

Penyebar berita berkenaan turut berkongsi nombor akaun sekiranya ada pihak-pihak yang sudi menghulurkan derma.

Bagaimanapun, pencarian kami di media sosial berdasarkan gambar yang dimuat naik bersama berita tersebut mendapati bahawa individu yang dikenali sebagai Zulaikha itu sebenarnya adalah Derek Cantor yang sudahpun meninggal dunia pada 23 April 2017.

Darek dilahirkan pada 17 November 2016 dengan tanda-tanda tumor habydosarcoma pada bahagian bawah dagu dan pipinya.

Akibat penyakit kanser berkenaan, Derek terpaksa menjalani rawatan agresif untuk beberapa bulan bagi mengekang kanser berkenaan daripada terus merebak sebelum diletakkan dalam jagaan rapi oleh pihak hospital.

Malangnya, kanser yang dihadapi anak kecil ini terus mengganas dan akhirnya, Derek dilaporkan meninggal dunia dalam tidur.

Malah, sebelum gambar berkenaan tular, sebuah laman Instagram Fighting Cancers Warrior pernah berkongsi cerita mengenai Derek pada 29 Mac 2017 lagi, hampir dua tahun yang lepas.

Kami tidak tahu apakah tujuan sebenar penyebar berita berkenaan berkongsi sesuatu yang sudah lama berlaku, lebih-lebih lagi menggunakan gambar kanak-kanak yang sudahpun meninggal dunia, bagaimanapun anda dinasihatkan supaya menyemak dahulu kesahihan sesuatu berita sebelum mengambil tindakkan selanjutnya.

Sumber: Friday Fighter, Fighting Cancer Warriors

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.