Siakap Keli

Kes Amuk Kejar Polis, Suspek Ditembak Kini Stabil

Suspek lelaki yang cedera ditembak ketika mengamuk di hadapan sebuah bank di Klang dekat sini semalam, kini dilaporkan stabil setelah selesai menjalani pembedahan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan ACP Shamsul Amar Ramli berkata, suspek telah sedar dan boleh berkomunikasi pada pukul 12 tengah hari tadi.

“Suspek kini direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan kes di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini.

Semalam, media melaporkan seorang lelaki berumur 41 tahun cedera di perut selepas ditembak polis dalam satu kejadian amuk di hadapan sebuah bank di Bandar Bukit Tinggi, Klang.

Terdahulu, dua anggota polis cuba menenangkan suspek selama 20 minit sebelum suspek bertindak agresif dan mengejar seorang daripada mereka untuk cuba menikamnya.

Tindakannya itu memaksa pihak polis melepaskan empat das tembakan bagi mempertahankan diri dan dua das mengenai bahagian perut suspek.

Polis turut merampas sebilah pisau lipat berukuran tujuh inci serta satu paket mengandungi serbuk putih disyaki dadah dalam beg sandang suspek yang mempunyai empat rekod jenayah membabitkan dadah.

— BERNAMA

Nur Farra