Siakap Keli
Gambar Hiasan(Foto: BBC/CBN)

Kumpulan Bersenjata Serang Gereja Katolik Ketika Penganut Sedang Beribadat, Empat Mangsa Terkorban

Lagi berita mengenai serangan di rumah ibadat. Empat orang telah terkorban dalam satu serangan di sebuah gereja Katolik dekat wilayah utara Burkina Faso pada Ahad.

Ketika kejadian berlaku, komuniti Kristian Toulfe sedang berkumpul di gereja tersebut untuk beribadat, menurut maklumat yang diperoleh daripada penjaga Gereja Ouahigouya, Justin Kientega.

Serangan ini adalah yang ketiga berlaku dalam tempoh tiga minggu di negara tersebut selepas dua serangan gereja terdahulu telah mengakibatkan 10 orang mangsa terkorban.

Namun, tiada mana-mana pihak telah mengaku bertanggungjawab dalam serangan tersebut. Ia dikhuatiri bakal mengugat keamanan di antara penganut agama Kristian dan Islam yang telah hidup dalam keadaan harmoni di kawasan berkenaan selama ini.

Dalam pada itu, kerajaan Burkina Faso telah mengesyaki sebuah kumpulan bersenjata yang tidak dinamakan sebagai pihak yang bertanggungjawab dalam serangan ini dan beberapa serangan sebelumnya.

Untuk rekod, kumpulan ini didakwa telah mula membuat kacau-bilau sejak tahun 2015 dengan menyasarkan serangan mereka terhadap golongan agamawan seperti paderi dan ulama.

Sementara itu, Perancis telah menghantar sekitar 4,500 tenteranya di Mali, Burkina Faso, Niger dan Chad dalam usaha untuk menjejak seterusnya menumpaskan kumpulan bersenjata di negara-negara berkenaan.

Sumber: Al-Jazeera

Amir Zakwan

Dulu sembang teknologi terkini, sekarang borak berita sensasi