Siakap Keli
Foto: Google

Mahu PTPTN Dimansuhkan? Sabar Dulu, Ini Empat Kesan Besar Sekiranya Ia Dilaksanakan

Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional atau PTPTN adalah merupakan agensi yang menyediakan skim pinjaman pendidikan kepada rakyat Malaysia untuk  melanjutkan pengajian tinggi sejak lebih dua dekad yang lalu. Selain menyediakan skim pinjaman, PTPTN turut menawarkan Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN).

Pada hari ini, skim pinjaman pendidikan PTPTN sedang hangat dibincangkan baik di peringkat rakyat mahupun peringkat nasional di Parlimen.

Gambar Hiasan(Foto:BERNAMA)

Antara yang sering dibahaskan ialah mengenai pemansuhan PTPTN. Sekiranya ia benar-benar berlaku, bermakna para peminjam terdahulu mungkin tidak lagi perlu memikirkan mengenai pinjaman yang diambil semasa melanjutkan pelajaran satu masa dahulu.

Bunyinya memang indah, namun tahukah anda, pemansuhan PTPTN juga bermaksud tiada lagi skim pinjaman yang memudahkan adik-adik, anak-anak kita atau generasi akan datang untuk melanjutkan pelajaran ke institut pengajian tinggi selepas ini?

Ia akan membawa pelbagai kesan negatif kepada generasi baharu yang secara tidak langsung berkemungkinan besar akan menjejaskan masa depan negara kita. Oleh itu pada kali ini, kita akan bincangkan mengenai empat (4) kesan paling besar sekiranya PTPTN dimansuhkan.

Sektor swasta perlu tampil untuk menyediakan pinjaman pendidikan tinggi 

Apabila PTPTN sudah tiada, para pelajar yang kurang berkemampuan terpaksa meminjam daripada pinjaman komersial jika mahu meneruskan niat ke IPT. Akan tetapi, mereka perlu menanggung beban kadar faedah hutang yang lebih tinggi memandangkan pinjaman komersial tidak menerima sebarang subsidi daripada pihak kerajaan.

Bilangan pelajar yang mendapat akses ke pendidikan tinggi berkurangan terutama kumpulan B40

Kumpulan B40 adalah golongan yang banyak menerima faedah daripada skim pinjaman pendidikan PTPTN ini. Berkait rapat dengan kesan pertama, golongan ini mungkin lebih sukar untuk mendapatkan pinjaman dari sektor swasta disebabkan proses kelulusan pinjaman yang lebih ketat daripada institusi kewangan sekali gus lebih menyukarkan golongan berpendapatan rendah.

Hutang perlu ditanggung oleh kerajaan dan pembayar cukai

Ya, bebanan hutang yang dimiliki oleh PTPTN terpaksa ditanggung oleh pihak kerajaan dan pembayar cukai. Perkara ini akan memberi kesan kewangan negara sekali gus menjejaskan perancangan kerajaan untuk memajukan negara ke arah yang lebih baik.

Ketidakadilan kepada peminjam yang telah selesai membayar balik

Sekiranya anda termasuk dalam golongan yang telah menyelesaikan bayaran hutang PTPTN, anda mungkin akan terasa tidak adil kerana orang lain yang belum membayar tidak lagi perlu membayar hutang mereka. Lebih teruk, anda mungkin akan menuntut semula pembayaran yang telah anda lakukan.

Diharapkan dengan penyenaraian empat kesan utama pemansuhan PTPTN ini dapat sedikit sebanyak membuka mata orang ramai mengenai kepentingan kepada masa depan negara selain dapat memberi galakan kepada peminjam untuk membuat bayaran balik pinjaman.

Foto: PTPTN/BERNAMA

Bagaimana pula dengan anda yang bukan peminjam atau pelajar yang bakal memerlukan pinjaman daripada PTPTN? Jangan risau, anda juga boleh membantu dalam menjadikan PTPTN sebuah agensi yang menawarkan skim pinjaman pendidikan yang lebih baik.

Kini, pihak PTPTN telah menyediakan satu platform terbaik bagi anda menyuarakan pandangan dan idea anda untuk mempertingkatkan kualiti perkhidmatan mereka.

Foto: PTPTN

Caranya mudah sahaja. Anda hanya perlu melayari portal rasmi PTPTN atau klik sahaja pautan ini. Melalui Konsultasi Rakyat, PTPTN akan mengambil berat pandangan anda mengenai kadar potongan yang sesuai untuk setiap julat pendapatan selain mendengar idea-idea baharu daripada anda.

Konsultasi Rakyat ini sedang berlangsung bermula dari 16 Mei lepas dan akan berakhir pada 13 Jun depan. Jadi apa tunggu lagi? Layari https://www.ptptn.gov.my/kertas-konsultasi-rakyat/ dan lontarkan pandangan anda bagi membantu generasi muda mendapatkan skim pinjaman PTPTN yang lebih baik.

“Generasi muda, harapan negara”.

Sumber: PTPTN

Amir Zakwan

Dulu sembang teknologi terkini, sekarang borak berita sensasi