Siakap Keli
Foto: FB JUMPA KAT MAHKAMAH/SBS

Ramai Yang Tak Tahu Bahawa Anda Boleh Didenda Dan Dipenjara Jika Tak Berdiri Ketika Lagu Negaraku Dimainkan

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Lagu kebangsaan bagi sesebuah negara adalah sangat tinggi darjatnya kerana ia melambangkan jati sesebuah negara serta penghormatan dan kasih sayang kita kepada negara yang didiami.

Oleh itu sebab itulah, kita sering diminta berdiri tegak ketika lagu Negaraku dimainkan dalam satu-satu acara yang kita hadiri. Bukan itu sahaja, jika lagu kebangsaan negara lain dimainkan, kita juga perlu berdiri dan diam sebagai tanda hormat.

Malangnya, masih ada di antara kita yang mengambil ringan mengenai perkara ini dan menganggap ia hanya sekadar lagu biasa sahaja.

Namun, tahukah anda bahawa kita boleh dikenakan tindakan undang-undang sekiranya tidak berdiri tegak ketika lagu Negaraku dimainkan di tempat awam? Ya, dan untuk penerangan lanjut, ikuti kiriman dari FB JUMPA KAT MAHKAMAH di bawah.

Tahukah anda jika anda mendengar lagu Negaraku di tempat awam dan tidak berdiri tanda hormat anda boleh didenda sehingga RM100 atau penjara sehingga sebulan?

Ini dinyatakan dalam seksyen 8(3) Akta Lagu Kebangsaan 1968.

Pada tahun 1968, Dewan Rakyat meluluskan rang undang-undang mewajibkan orang ramai bangun berdiri memberi hormat apabila lagu kebangsaan dimainkan terutama di tempat awam.

Rang Undang-undang ini juga melarang orang ramai mentertawakan lagu kebangsaan dan juga mempermainkan sesiapa sahaja yang menghormati lagu tersebut. Adalah satu kesalahan mengganggu dan mengejek orang yang memberi hormat kepada lagu yang menjadi lambang kebangsaan negara ini.

Ketika pembentangan rang undang-undang, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan pada tahun 1968, Encik Khaw Kai Boh berkata, rang undang-undang ini dilaksanakan dalam usaha memupuk taat setia kepada negara di kalangan rakyat berbagai bangsa, keturunan, agama dan fahaman.

Malah polis boleh menahan tanpa waran jika anda tidak menghormati lagu Negaraku.

Diharapkan selepas ini, kita dapat lebih menghormati lagu kebangsaan kita, Negaraku dan lagu-lagu kebangsaan negara lain yang dimainkan di negara ini dalam apa jua jenis majlis di masa akan datang.

Sumber: FB JUMPA KAT MAHKAMAH 

Amir Zakwan

Dulu sembang teknologi terkini, sekarang borak berita sensasi