Siakap Keli
Gambar Hiasan

Orang Asli Kampung Pasir Linggi Perlu Ambil Langkah Elak Penyakit

BERNAMA –  Lebih 300 penduduk Orang Asli suku Batek di Kampung Pasir Linggi, Pos Lebir di sini, bersyukur kerana mereka bebas daripada jangkitan kuman demam campak dan sentiasa menjaga kebersihan.

Kebimbangan dengan penularan penyakit berjangkit itu juga mereka bersepakat mengambil langkah kuarantin sendiri dengan mengehadkan perjalanan keluar dari kampung itu khususnya ke Kampung Kuala Koh yang diserang wabak penyakit berkenaan.

Penghulu Kampung Pasir Linggi, Ramli Bebas berkata, walaupun ada penduduk kaum itu mempunyai talian persaudaraan dengan kaum suku Batek di Kampung Kuala Koh, tetapi dinasihatkan jangan menziarah mereka buat sementara waktu ini.

Beliau berkata, mereka tidak dihalang untuk keluar mencari rezeki di hutan tetapi mengehadkan jarak perjalanan mereka jangan sampai ke sempadan kampung terbabit yang dilanda wabak penyakit berjangkit merbahaya itu.

“Nampaknya, mereka setakat ini mematuhi nasihat itu kerana kita bimbang ada jangkitan penyakit itu yang boleh memudaratkan mereka sendiri,” katanya kepada pemberita selepas program gotong-royong membersih Kampung Pasir Linggi, di sini hari ini.

Gotong-royong membersih kampung itu disertai lebih 100 penduduk di kawasan penempatan Orang Asli itu.

Wabak demam campak di Kampung Kuala Koh sejak lebih sebulan lalu dipercayai mengakibatkan beberapa kematian dan 112 orang lagi menerima rawatan di Hospital Gua Musang (HGM) dan klinik kesihatan berhampiran, dengan 37 daripada mereka didapati dijangkiti wabak itu.

Ramli berkata, penduduk kampung itu juga telah mengambil langkah segera menerima rawatan apabila merasakan diri tidak sihat.

“Kita buat gotong-royong hari ini juga atas idea dan semangat penduduk itu sendiri kerana mahu jaga kebersihan kampung,”katanya.

Sumber: BERNAMA

Eyen Mirlen

write deeply from your heart