KUANTAN – Seorang pesara mendakwa keretanya dipanah sehingga menyebabkan pintu belakang kiri keretanya berlubang semasa berhenti di persimpangan lampu isyarat di Jalan Beserah di sini.
Tan Theam Lye, 62, berkata kejadian berlaku sekitar 5 petang semalam, dan semasa kejadian terdapat beberapa pelajar sebuah sekolah menengah bersebelahan jalan sedang menjalani latihan memanah.
“Saya bernasib baik panah itu tidak menembusi pintu kereta kerana isteri duduk di tempat duduk penumpang belakang. Kami sedang menunggu lampu isyarat bertukar hijau apabila mendengar bunyi kuat.
“Pada mulanya saya menyangka ada orang membaling batu, sehingga isteri memberitahu ternampak ada besi panjang di luar kereta,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Tan berkata dia segera memberhentikan kereta di bahu jalan untuk memeriksa dan terkejut apabila melihat besi itu adalah anak panah, lalu terus ke sekolah tersebut bagi mendapatkan penjelasan.
Dia mendakwa seorang guru yang bertugas mengawasi pelajar yang sedang berlatih memanah mengakui kemungkinan salah satu anak panah itu ‘terlepas’ keluar dari kawasan sekolah sehingga ke jalan raya.
Hasil perbincangan, guru tersebut didakwa bersetuju membayar ganti rugi RM300 kepada Tan untuk membaiki pintu kereta Suzuki Swift itu dan beliau pula bersetuju untuk tidak membuat laporan polis.
“Saya berharap sekolah terlibat mengambil tindakan sewajarnya, supaya kejadian seperti itu tidak berulang. Tingkatkan aspek keselamatan kerana lokasinya bersebelahan jalan.
“Bagaimana jika anak panah itu terkena penunggang motosikal atau pejalan kaki? Sudah pasti mereka akan cedera,” katanya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teruntum Sim Chong Siang berkata beliau dimaklumkan sekolah itu bersetuju untuk memberhentikan sementara sukan itu sehingga mereka memasang jaring keselamatan.
Sumber: Bernama