Siakap Keli

Penerbangan Air Canada Lakukan Pendaratan Kecemasan Di Hawaii

Trenton : Tiga puluh penumpang cedera dengan sembilan daripada mereka parah apabila satu penerbangan Air Canada terpaksa melakukan pendaratan kecemasan di Hawaii pada Khamis, lapor agensi berita Turki memetik kenyataan jurucakap Air Canada.

Pesawat itu dalam perjalanan ke Sydney, Australia dari Vancouver apabila bertembung gelora yang kuat.

Ia melakukan pendaratan kecemasan di Lapangan Terbang Antarabangsa Daniel K. Inouye di Honolulu pada pukul 6.45 pagi waktu tempatan.

Laporan awal menyebut tiada kecederaan serius.

”Nampaknya sejumlah 35 penumpang mengalami kecederaan ringan,” menurut jurucakap Air Canada.

Bagaimanapun, dalam sidang akhbar pada kira-kira pukul 7 malam, seorang pegawai yang memberikan maklumat terkini berkata jumlah mangsa yang cedera ialah 30 orang, dengan sembilan daripada mereka parah selepas mengalami kecederaan di bahagian kepala dan belakang serta luka melecet.

Apabila pesawat jenis Boeing 777-200 yang membawa 269 penumpang dan 15 anggota kru itu merempuh gelora tersebut, penumpang mengalami gegaran kuat.

”Kami merempuh gelora itu dan kepala kami terhantuk ke bahagian bumbung pesawat,” kata Jess Smith yang tidur sebelum itu namun terjaga apabila pesawat tersebut bergegar.

Seorang lagi penumpang memberitahu media bahawa pesawat itu “berpusing-pusing di udara.”

Jurucakap Air Canada berkata urusan sedang dilakukan untuk menyediakan bilik hotel serta makanan kepada penumpang, dan syarikat penerbangan itu memilih untuk menyambung penerbangan ke Sydney.

Tiada maklumat lanjut mengenai mangsa yang cedera dan dibawa ke hospital.

Sumber : Bernama

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.