Siakap Keli
Gambar: Bernama

Pembantu Rumah Didakwa Dirogol Exco Perak Kini Di Bawah Jagaan JKM

SERDANG – Pembantu rumah yang didakwa dirogol majikannya yang merupakan seorang ahli exco di Perak, kini diletakkan di bawah jagaan dan tanggungjawab Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), kata Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Timbalan perdana menteri berkata JKM mengambil tindakan dengan meletakkan pembantu rumah terbabit di bawah perlindungan dan pemeliharaan mereka.

“Tidak boleh katakan dia (pembantu rumah) tidak terbela, kerana bila sahaja dia membuat laporan polis, terus polis mengambil tindakan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Forum ‘Keibubapaan Kreatif Mendepani Cabaran Alaf Baru’ sempena Sambutan Hari Ibu Bapa peringkat Kebangsaan 2019 di Universiti Putra Malaysia di sini hari ini.

Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain dilapor berkata Exco berkenaan yang ditahan atas dakwaan merogol pembantu rumah warga Indonesia telah dibebaskan dengan jaminan polis sementara siasatan dilengkapkan.

Beliau berkata, Exco berkenaan turut menjalani pemeriksaan doktor bagi tujuan siasatan.

Pada 8 Julai, polis Perak menerima satu laporan daripada seorang wanita warga Indonesia berumur 23 tahun, mendakwa dia dirogol oleh majikannya yang juga seorang Exco kerajaan negeri Perak di rumahnya di Meru, Ipoh.

Sementara itu ketika mengulas laporan muka hadapan sebuah akhbar hari ini, mengenai warga asing menjadikan gadis Orang Asli sebagai isteri semata-mata untuk dijadikan penama dalam usaha memohon lesen niaga, Dr Wan Azizah berkata ia merupakan suatu perkara yang memerlukan siasatan lanjut.

Beliau menarik perhatian bahawa perkahwinan antara Orang Asli dengan sesiapa pun adalah di bawah pengurusan Tok Batin, dan kalau bukan Islam ia melibatkan ‘customary rights’.

“Kita tidak mahu sesiapun wanita-wanita kita, walapun bukan Orang Asli dieksploitasikan,” katanya.

Akhbar tersebut melaporkan pembukaan kawasan pertanian komersial khususnya sayur-sayuran yang hampir dengan penempatan Orang Asli di negara ini, menjadikan gadis kaum minoriti itu sasaran manipulasi warga asing.

Ia melaporkan warga asing menjadikan gadis Orang Asli sebagai isteri, semata-mata untuk dijadikan penama dalam usaha memohon lesen niaga atau bantuan kerajaan yang dikhususkan kepada kaum berkenaan.

Sumber: BERNAMA

Fildza Zainal

No matter what people tell you, words and ideas can change the world. So pick up the pen and write.