Siakap Keli
Gambar Hiasan(Foto: Google)

Dua Beranak Nyaris Maut, Bangunan Dalam Pembinaan Runtuh Di Pasir Mas

PASIR MAS, 31 Julai (Bernama) — Dua beranak yang sedang melakukan kerja pembinaan di tingkat tiga sebuah bangunan di Kampung Chenerai, di sini, nyaris maut apabila binaan tambahan itu runtuh secara tiba-tiba, dalam satu kejadian kira-kira pukul 2.30 petang tadi.

Akibat runtuhan itu, salah seorang mangsa iaitu bapa berusia 60 an, cedera parah di kepala serta patah kaki dan tangan, manakala anaknya yang berusia 30 an hanya cedera ringan di bahagian kepala.

Timbalan Ketua Zon JBPM Kota Bharu, Abu Hassan Mohd Nawi berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada pukul 2.35 petang dan tiba di lokasi runtuhan pada 2.48 petang.

Beliau berkata sebaik tiba pihaknya mendapati dua mangsa cedera termasuk salah seorangnya parah.

Katanya dua mangsa itu yang belum dikenal pasti identitinya kemudian dihantar ke hospital menggunakan jentera EMRS untuk rawatan lanjut.

“Berdasarkan pemantauan yang dilakukan, kita mendapati mangsa berada di tingkat tiga bangunan sebelum berlaku runtuhan dan mangsa turut jatuh ke bawah.

“Berdasarkan maklumat saksi, mangsa sebenarnya diupah untuk melakukan kerja ubahsuai bangunan. Apa yang kita lihat struktur bangunan agak tidak kukuh malah tidak mendapat kelulusan pihak berkuasa tempatan,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini.

Seorang saksi yang ditemui, Nurul Diyana Mohd Zul, 29, berkata dia menyedari kejadian, selepas terdengar dentuman kuat ketika berada di rumahnya, kira-kira 50 meter dari situ.

Katanya dia tidak menyangka berlakunya runtuhan itu ke atas bangunan yang sudah bertahun-tahun dibina dan diubah suai sebagai tempat peliharaan ayam telor.

Sumber: BERNAMA

Amir Zakwan

Dulu sembang teknologi terkini, sekarang borak berita sensasi