Siakap Keli
Kredit: Aida Adia

(Video)”Suara Inilah Kami Dengar Setiap Pagi,” Pemergian Pelajar Ini Dirindui Kerana Akhlaknya Terpuji

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Kematian tidak mengenal usia. Soalnya, sejauh mana kita bersedia? Setiap detik, ada sahaja yang meninggalkan dunia ini.

Mereka yang beramal soleh dan berakhlak baik pasti akan dikenang oleh orang sekeliling sepertimana adik Muhd Arif Syazwan Mohd Sabri, 18 tahun. Pelajar aliran Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) ini telah meninggal dunia akibat kanser tulang pada Jumaat lepas.

Kerinduan terhadap allahyarham diluahkan oleh gurunya, Ustazah Wan Noraida Wan Mustafa yang mengajar beliau subjek Bahasa Arab di SMA Mahmudiah.

“Mohon doakan anak ini.. Calon STAM 2019. Antara pelajar terbaik SPM. Dikurnia Allah suara yang merdu di saat mengalunkan kalam Allah.. April baru ni masih sihat ketika menyertai acara hafazan dan beliau Johan..

“Kalau dia baca doa pagi atau sebelum balik, semua diam. Baik cikgu-cikgu, pelajar, pekerja-pekerja menghayati doa dan suara anak ini.

“Setiap kali cuti sekolah, dia ke pondok belajar agama. Sebelum disahkan kanser tulang, anak ini masih ceria apabila kami ziarah. Setelah disahkan selepas MRI, terus berubah 100 peratus.”

Syazwan merupakan pelajar yang baik di mata guru-gurunya.

“Satu lagi sifat Syazwan, berusaha menghargai guru-gurunya. Walaupun tak mengajar dia ketika SPM, dia buat juga sambal bilis kering sendiri. Air tangan sendiri sebab tak mampu nak beli.” -Cikgu Sulha Aniza

Satu dalam sejuta. Susah nak cari budak macam dia sekarang ni. Walaupun tak mengajar dia, tapi dia hormat semua cikgu. Selalu datang bilik komputer sembang dengan Pok Din dan Kak Su. Sampai Pok Din dan Kak Su pun sayang dia.” -Cikgu Fazlinayati

Sentiasa cuba bagi yang terbaik kepada semua orang. Sangat amanah kepada tanggungjawab yang dipikul.” -Cikgu Saifah

Merendah suara apabila bercakap dengan guru. Selalu berterima kasih kepada guru apabila selesai waktu belajar. Sentiasa cakna pada kesihatan guru. Selalu bertanya ‘Cikgu sihat ke’ sebelum mengajar ketika saya sakit dulu.” -Cikgu Zuriat

“Kita cikgu-cikgu pun mesti merindui senyum manisnya, wajah cerianya dan suara lunak mengalunkan bacaan Quran. Allahu.. bertuahnya anak syurga kita.. Moga nanti dia menarik juga tangan guru-gurunya ke syurga jugak.. Aamiin.” -Ustazah Che Hamidah

Suara yang dirindui

Ustazah Aida turut berkongsi satu video allahyarham Syazwan ketika membaca doa di perhimpunan.

“Kalau dulu, suara ini lah yang kami dengar setiap pagi dan usai waktu pembelajaran. Bila arwah bacakan doa, tak perlu suruh pelajar diam. Mereka sendiri akan diam menghayati lunak suara si pembaca.”

Orang tidur, dia mengaji

Ustazah Aida turut berkongsi sekeping gambar Syazwan yang sedang mengaji Al-Quran pada malam hari raya yang lalu.

“Ustazah, gambar masa malam raya hari tu dekat rumah tok ma dia. Semua orang sedap tidur, dia bangun mengaji. Begitulah arwah Syazwan ustazah.” –ibu saudara anakanda Syazwan yang kami sayang.

“Allah Akbar.. Kerana inikah kamu dimuliakan pada usia yang sangat muda..??”

Menurut ustazah Aida lagi, Syazwan merupakan seorang pelajar yang berakhlak baik dan rajin berkhidmat. Beliau sangat menghormati para guru dan sangat cepat memahami pembelajaran selain mempunyai suara yang lunak.

“Bagaimanalah kami tidak jatuh sayang pada kamu Muhd Arif Syazwan,” kata ustazah Aida dalam luahannya.

Sumber: Aida Adia

Amira

Love yourself.