Siakap Keli

(Video)Tak Ada ‘Nyawa’ Kedua Kalau ‘Selisih’ Dengan Dia, Kisah Wira Sang Saka Biru Yang Digeruni Musuh

Polis Diraja Malaysia atau PDRM adalah salah sebuah pasukan keselamatan Malaysia yang bertanggunjawab dalam memelihara keamanan dalam negeri dari sebarang anasir-anasir yang berniat jahat mencemarkan kesejahteraan awam.

Banyak kisah-kisah yang tidak diceritakan, begitu juga keperwiraan sebahagian anggotanya yang meletakkan nyawa sebagai galang-ganti sepanjang memberi khidmat kepada masyarakat yang terus ‘sunyi’ dari perhatian kita semua seperti kisah dibawah.

Jom baca perkongsian yang dimuat naik oleh Polis Diraja Malaysia dibawah.

WIRA SANG SAKA BIRU

SARJAN (B) NAZARUDDIN MOHD ZAIN @ SARJAN SABU

“Tumpaskan penjenayah adalah amanah dan tanggungjawab saya sebagai anggota polis” – Sarjan Sabu

Di sekitar tahun 80-an hingga awal 90-an, Sarjan (B) Nazaruddin Mohd Zain atau lebih dikenali “Sabu” dalam kalangan rakan setugas, pernah menumpaskan puluhan malah ratusan penjenayah di tangan beliau sendiri.

Malah, tidak akan ada ‘nyawa kedua’ buat mana-mana penjenayah yang jatuh dalam genggaman pesara polis tersebut setiap kali beliau terlibat dalam sesuatu operasi.

Misi Sarjan Sabu cuma satu – hapuskan petualang negara!

Menyingkap kembali 30 tahun perjalanan karier Sarjan Sabu dalam Sang Saka Biru, beliau mengakui pada mulanya tidak begitu meminati pasukan beruniform ini.

“Saya memohon kerjaya sebagai anggota polis ketika itu bukanlah disebabkan minat, tetapi menurut permintaan bapa yang inginkan saya bekerja selepas tamat persekolahan,” ujar beliau memulakan bicara.

Tambah Sarjan Sabu, bapanya sendiri, Allahyarham Koperal 719 Mohd Zain Mat Tasir merupakan bekas anggota polis. Termasuk dua orang adiknya, Allahyarham Koperal Samsuddin Mohd Zain (antara anggota pertama Komando 69) dan Sarjan Hishamuddin Mohd Zain yang pernah berkhidmat di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulang Pinang sebelum menjalani persaraan.

Wajah dan aksi Sarjan Sabu ketika melakukan sesuatu operasi.

“Sejurus diterima masuk dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan mengikuti latihan selama enam bulan di Pusat Latihan Polis (PULAPOL), Jalan Semarak, Kuala Lumpur pada 1 Jun 1965, saya memulakan khidmat sebagai anggota polis berpangat Konstabel di Balai Polis Sentral, Ipoh, Perak.

“Bermula dari situlah, rasa cinta kepada pasukan semakin menebal dalam diri kerana tidak ramai yang berpeluang menyarung seragam polis dan melakukan tugas yang mencabar ini,” jelas beliau.

Perjalanan karier Sarjan Sabu turut melibatkan beberapa unit lain dalam PDRM iaitu Balai Polis Trafik Jalan Bandar, Kuala Lumpur dan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) di Kepala Batas, Butterworh, Pulau Pinang, sebelum menyertai Unit Tindakhas (UTK) dan Bahagian D9 (Jenayah Berat), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) yang akhirnya ‘sebati dengan jiwa’ beliau.

Sarjan Sabu merupakan antara 76 pegawai dan anggota polis pertama yang menyertai UTK apabila pasukan elit itu ditubuhkan pada tahun 1975.

Meskipun terpaksa menjalani latihan asas yang memeritkan selama tiga bulan, ia sedikitpun tidak mematahkan semangat beliau. Malah, jiwanya sentiasa berkobar-kobar untuk terus berada dalam unit tersebut.

“Antara latihan yang terpaksa dilalui termasuk diletakkan di dalam van dalam keadaan berhimpit dan bertutup selama 12 jam. Jika ada di kalangan kami yang ingin membuang air, pandai-pandailah bawa botol kecil bersama. Peluh pada pakaian juga sampai boleh diperah!,” terang Sarjan Sabu yang memaklumkan latihan itu sebagai merasai insiden tebusan yang sebenarnya berlaku.

Ketika bertugas di Balai Polis Trafik Jalan Bandar, Kuala Lumpur.

Tentunya bertugas dalam unit elit, UTK, selama 10 tahun (dari tahun 1976 hingga 1986) membawa 1,001 pengalaman dan kisah yang tidak dapat dilupakan oleh figura berusia 73 tahun itu.

“Antara tugasan yang tidak dapat saya lupakan hingga sekarang ialah semasa terlibat dalam satu operasi khas di sebuah negeri di utara Semenanjung Malaysia.

“Dalam operasi tersebut, kami diarahkan untuk mencari seorang suspek dan beliau berjaya dikesan di tempat yang dinyatakan.

“Ketika sedang mengepung kawasan tersebut, salah seorang kuncu suspek telah melepaskan tembakan dari arah belakang dan sebutir peluru menembusi bahagian tengkuk saya.

“Rakan-rakan yang lain segera melakukan tembakan balas dan suspek serta kuncu-kuncunya berjaya ditumpaskan.

“Selepas operasi berkenaan selesai, saya terus dikejarkan ke sebuah hospital di Pulau Pinang sebelum dipindahkan ke Hospital Kuala Lumpur.

“Syukur ke hadrat Allah SWT, nyawa saya panjang dan masih diberi peluang untuk terus berkhidmat dengan pasukan,” cerita Sarjan Sabu yang mengambil keputusan untuk ‘lari’ dari hospital bagi menyambung tugas di lapangan.

Pengalaman menarik beliau dalam UTK tidak terhenti di situ. Beliau turut terlibat dalam satu kes tebusan yang berlaku di Penjara Pudu, Kuala Lumpur pada tahun 1986.

“Saya bersama rakan sepasukan telah terlibat dalam operasi menyelamat seorang doktor dan pembantunya yang dijadikan tebusan oleh sekumpulan banduan bersenjata di Penjara Pudu selama enam hari iaitu dari 17 hingga 22 Oktober 1986,” imbas beliau.

Semasa tugas mengiringi Perdana Menteri ke-4, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Krisis tebusan di penjara itu berakhir tanpa pertumpahan darah pada 22 Oktober 1986 apabila Sarjan Sabu dan anggota UTK yang lain berjaya menyerbu penjara dan menyelamatkan kedua-dua tebusan berkenaan.

Melalui operasi itu, Sarjan Sabu telah dianugerahkan Darjah Kebesaran dan Bintang Kehormatan Panglima Gagah Berani (PGB) pada 4 Jun 1987 oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Ke-VIII di atas keberanian dan ketangkasan yang telah beliau pamerkan.

“Ia adalah amanah dan tanggungjawab sebagai seorang anggota polis. Saya ikhlas melakukannya demi tugas kepada masyarakat dan negara,” tegas beliau apabila ditanya perasaan ketika menerima pengiktirafan tersebut.

Ketika Sarjan Sabu bertugas di Bahagian D9 (Jenayah Berat) JSJ, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (antara tahun 1986 hingga 1996), beliau terlibat dalam satu operasi menjejaki seorang penjenayah paling dikehendaki yang mempunyai puluhan rekod kesalahan jenayah seperti bunuh, ugut, rompak, peras ugut, seludup dadah dan kongsi gelap.

Menerima Darjah Kebesaran dan Bintang Kehormatan Panglima Gagah Berani (PGB) pada 4 Jun 1987 oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Ke-VIII atas kejayaan kes beliau menyelamatkan tebusan di Penjara Pudu, Kuala Lumpur pada tahun 1986.

“Saya berjaya menembak mati penjenayah tersebut selepas pasukan polis mengepung tempat persembunyian suspek yang baharu melakukan rompakan sehari sebelumnya,” cerita beliau ringkas.

Sarjan Sabu turut menjelaskan, mengalami kecederaan semasa dalam latihan atau penugasan adalah perkara biasa baginya.

“Saya pernah mengalami patah tulang selepas jatuh dari tingkat empat ketika menjalani satu latihan di Ulu Kinta, Perak. Selepas sembuh, saya tetap bekerja seperti biasa. Tidak pernah serik,” jelas beliau.

“Walaupun terlibat dalam kerjaya penuh mencabar itu, saya bertuah kerana memiliki keluarga yang sangat memahami. Arwah isteri, Allahyarham So’diah Ali merupakan tulang belakang untuk menjaga anak-anak semasa ketiadaan saya jika terlibat dalam sesuatu operasi.

Antara latihan yang dilakukan ketika dalam Unit Tindakhas (UTK).

Menjalani persaraan pada 1 Februari 1996 atas pilihan sendiri, Sarjan Sabu tetap mengikuti perkembangan pasukan yang banyak mengajar beliau erti pengorbanan. Meskipun cabaran yang dihadapi warga PDRM pada masa kini tidak sama dengan apa yang beliau lalui dahulu, perkara yang paling utama adalah menjalankan tugas dengan ikhlas demi agama, bangsa dan negara.

Apabila ditanya apa perkara yang paling beliau rindui selepas 23 tahun meninggalkan pasukan, pantas beliau menjawab,

“Saya ingin tumpaskan penjenayah. Saya geram dengan mereka (penjenayah). Tiada satupun kebaikan yang kita dapat daripada mereka ini!”

“Kepada generasi muda yang berminat menjadi pegawai atau anggota polis, fikir sedalam-dalamnya sebelum menyertai PDRM. Jangan dikejar sebarang ganjaran tetapi tanggungjawab yang diamanahkan itu yang perlu diutamakan,” pesan beliau mengakhiri penceritaan.

LATAR BELAKANG

Sarjan Sabu yang dilahirkan pada 22 September 1946 merupakan anak ke-2 daripada 10 adik beradik dari Kampung Rambai Tujuh, Kuala Kangsar, Perak.

Melakukan penyamaran sebagai lanun bagi salah satu operasi yang dijalankan.

Beliau telah berhijrah ke Kampung Baru, Kuala Lumpur untuk tinggal bersama datuknya ketika berusia tujuh tahun.

Sarjan Sabu mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Jalan Raja Muda, Princes Road (sekarang dikenali Jalan Raja Muda Abdul Aziz), Kampung Baru sebelum meneruskan pengajian di sebuah sekolah vokasional di Ipoh, Perak.

Bapa kepada tujuh orang cahaya mata ini merupakan bekas pemain pasukan dan kebangsaan dalam sukan ragbi dari tahun 1972 hingga 1985, serta telah mewakili PDRM dan Malaysia dalam pelbagai siri kejohanan di peringkat kebangsaan serta antarabangsa.

Sumber: PDRM

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.