Siakap Keli
Gambar Hiasan

Terkini: Polis Percaya Mayat Wanita Adalah Nora Anne

Nilai- 13 Ogos, Polis percaya penemuan mayat wanita berkulit cerah di kawasan berhampiran resort The Dusun, Pantai di Seremban tengah hari ini adalah remaja Ireland Nora Anne Quoirin, yang dilapor hilang 4 Ogos lepas.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Mazlan Mansor pada sidang akhbar di Balai Polis Pantai, berkata bagaimanapun pengesahan hanya dapat dibuat selepas laporan bedah siasat oleh Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) diperoleh.

“Keluarga remaja itu telah ke HTJ untuk pengecaman,” katanya.

Beliau berkata mayat itu ditemukan sepasukan pendaki sukarelawan yang menyertai operasi mencari dan menyelamat (SAR) pada 1.57 tengah hari berhampiran anak sungai, kira-kira 2.5 kilometer dari resort Nora Anne, 15, dilaporkan hilang.

Mayat dibawa keluar daripada lokasi menggunakan helikopter dan terus diterbangkan ke HTJ.

Mazlan berkata mayat itu ditemui dalam keadaan tidak berpakaian dan enggan mengulas sama ada terdapat sebarang kecederaan pada tubuh mayat berkenaan dan menegaskan perlu menunggu laporan bedah siasat.

Ditanya pemberita adakah kawasan penemuan mayat itu pernah dicari sebelum ini, Mazlan berkata kawasan itu adalah sebahagian daripada kawasan pencarian.

“Kita sudah cari di kawasan itu dua kilometer, empat kilometer dan enam kilometer dan kemudian berpatah balik…kita ‘on and off’ cari di kawasan itu.

Ditanya adakah kemungkinan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, Mazlan berkata siasatan masih di bawah kes orang hilang.

Mazlan berkata perkembangan kes itu akan dimaklumkan oleh Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Mohamad Mat Yusop.

Terdahulu, Mazlan turut meninjau lokasi penemuan mayat serta bertemu dengan keluarga Nora Anne.

Nora Anne disedari hilang daripada bilik penginapannya di sebuah resort di Pantai oleh keluarganya pada 8 pagi 4 Ogos.

Remaja yang mengalami masalah pembelajaran itu tiba bersama keluarganya di Malaysia pada 3 Ogos untuk percutian dua minggu di negara ini.

Sumber: Bernama

Azmil

The best preparation for tomorrow is doing your best today. :)

Tambah komen

Dari Wiser.my

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.