Siakap Keli

“Jangan Bagi Orang Dukung Bayi Suka Hati” Ibu Kongsi Pengalaman Bayi Bengkak Muka Sebab Bakteria

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Bayi amat mudah terkena jangkitan sekiranya terdedah pada kuman dan bakteria kerana sistem imuniti yang masih lemah. Sebagai ibu bapa, kita hendaklah menjaga amanah ini dengan baik dan bertanggungjawab dengan memberi perlindungan kepada bayi termasuk memberi vaksin sepertimana diwajibkan oleh Kesatuan Ulama Islam Sedunia.

Terbaru, seorang ibu, Munie Suraya berkongsi pengalaman ketika anaknya mengalami satu penyakit kulit, impetigo dan scalded skin syndrome akibat jangkitan kuman yang mana salah satu puncanya ialah sentuhan orang ramai. Berikut adalah perkongsiannya.

Impetigo dan Scalded Skin Syndrome (SSS)

Impetigo merupakan jangkitan pada kulit yang berpunca dari bakteria tertentu (Streptococcus atau Staphylococcus).

Bakteria ini memasuki bahagian kulit yang rosak akibat menggaru, luka dan lain-lain masalah kulit. Biasanya, ia menjangkiti kanak-kanak dan mudah tersebar kepada orang lain.

Scalded skin syndrome pula merupakan jangkitan serius disebabkan Staphylococcus aureus. Bakteria ini menyebabkan lapisan kulit menggelupas dan melepuh seperti terbakar.

SSS merupakan penyakit jarang dijumpai yang sering menjangkiti anak-anak berusia enam tahun ke bawah terutama bayi. Ia jarang menjangkiti orang dewasa, kecuali mereka yang mengalami kegagalan buah pinggang dan mempunyai imuniti yang lemah.

Penyakit mudah tular ini dapat menyebabkan kematian jika ia memasuki aliran darah, sendi, tulang, paru-paru dan jantung.

“Semua ibu bapa yang ada bayi, tolong jadikan pengajaran. Jangan baik hati bagi anak kat orang dukung suka hati.

“Pengalaman yang memang pahit untuk ditelan dan hampir hitam dunia untuk minggu ni, moga lepas ni kami lebih berjaga-jaga, kata Suraya.

Menurutnya, anak keduanya, Eldryna Saffyia, 5 bulan mula dijangkiti kuman berkenaan pada Jumaat lalu (2 Ogos 2019). Berikut adalah kronologi yang dikongsikannya.

2 Ogos (Jumaat)

Masa ni kami ingat Eldryna kena gigit semut sebab bengkak mata sebelah kanan. Sebelum ni dia memang pernah kena gigit semut.

Menurut Suraya, tanda kemerahan mula muncul sekitar mulut dan mata dah mula bengkak pada waktu malam.

“Mama dah tak sedap hati kenapa tetiba jadi macam ni, tapi masih ingat kena gigit semut.”

3 Ogos (Sabtu)

Masa ni dah pergi klinik. Mama ingat punca alergi sebab mama makan ubat tahan sakit. Mama cirit birit muntah-muntah hari Khamis, tetiba Jumaat adik jadi macam ni. Masa tu doktor suruh pergi hospital, jadi kami pergi unit kecemasan KPJ.

Sampai di KPJ, mama cerita apa jadi kat adik masa tu. Mama rasa semua salah mama sebab mama ingat adik jadi macam ni sebab mama. Masa ni adik kena masuk ubat susut bengkak di kecemasan. Tak kena tahan wad. Ubat habis, boleh balik. Dorang bagi ubat sapu.

Masa ni mama rasa lega sebab ingat semua dan selesai dan tak ada apa yang serius.

4 Ogos (Ahad)

Semuanya bermula pada pagi tu. Tiba-tiba mama tengok mulut adik menggelupas macam tu. Menggigil mama tengok masa tu. Terus ke unit kecemasan KPJ balik. Masa sampai sana, doktor terus telefon doktor pediatrik yang on call hari tu.

Masa ni, tengah nak tungguk masuk wad. Keadaan mata adik dah tak boleh buka. Makin teruk bengkak. Masa ni mama tak tahu lagi apa yang jadi kat adik, jadi mama masih salahkan diri mama.

Malam tu jadi lebih teruk masa nak habis jadi cecair dan ada tinggal kesan darah. Ya Allah, hanya Allah je yang tahu masa tu apa mama rasa. Dr. Syed datang dia beritahu dan jelaskan apa yang terjadi kat adik bukan sebab alergi ubat, tapi sebab jangkitan kulit iaitu impetigo dan scalded skin syndrome.

Puncanya dari orang ramai pegang-pegang bayi atau persekitaran serta mungkin air kotor. Tapi punca utama kuman tu sebab dari orang yang ada sakit kulit atau ada kuman tu pegang Eldryna, maka kuman tu jangkiti dia.

Jadi mula dari tu, maaf kalau mama jadi paranoid yang amat kalau orang luar nak pegang adik lepas ni.

Remuk hati mama tengok adik masa ni dengan tak boleh buka mata, meraung tahan sakit. Hancur hati mama, memang berlinang air mata je satu hari suntuk tu.

5 Ogos (Isnin)

Lepas on antibiotik, alhamdulillah nampak kuman yang kat muka adik tu jadi kering sikit. Tinggal salin kulit baru. Mata boleh buka dah lepas nurse bersihkan, tapi tak dapat bukak besar sebab bengkak.

6 Ogos (Selasa)

Alhamdulillah mata adik yang bengkak dah surut dan kulit yang kena kuman tu mula kering nak ganti kulit baru. Masa ni Dr. Syed cakap mungkin makan masa dua minggu adik kena admit. Masa tu menggigil mama dengan tapi demi kebaikan adik, mama redha je masa tu.

Hanya doa mama yang tak putus dari mulut ni untuk anak mama, Eldryna Saffyia.

7 Ogos (Rabu)

Masa ni mama dah mula positif balik tengok muka adik dah makin elok. Ada peningkatan yang sangat cepat, tak sangka cepat adik sembuh. Adik memang kuat.

8 Ogos (Khamis)

Masa ni Dr. Syed kata mungkin boleh balik Jumaat nanti. Tapi dia kena pastikan dulu sebab dia nak tengok adik dah sembuh sepenuhnya atau belum. Masa ni mama minta semua ahli keluarga doakan untuk adik. Moga-moga dapat keluar Jumaat nanti.

Malam tu, kesian adik kena tujuh kali cucuk sebab tak jumpa saluran untuk masukkan ubat. Cuba punya cuba, nurse dapat jugak kat kaki. Meraung lah dia malam tu. Kesian adik, demi adik nak baik cepat, adik sabar ye.

9 Ogos (Jumaat)

Hari ini adik riang betul sebab dia tahu lah tu dia dah boleh balik. Dr. Syed datang pagi tu kata 99 peratus dia bagi adik balik petang tu. Sebelum balik, dia nak periksa adik sekali lagi dulu. Semua dah mula elok. Cuma tanggal-tanggal sikit untuk salin kulit baru. Mama lega sangat tak sangka cepat jugak adik sembuh dari anggaran doktor. Adik memang kuat, mama sayang adik.

Petang tu doktor beritahu adik dah boleh balik. Ya Allah bahagia sangat masa tu. Syukur tapi pada masa yang sama takut dan fobia. Mohon rakan-rakan FB doakan Eldryna Saffyia selalu sihat ya lepas ni. Jadikan kisah ini sebagai pengajaran buat semua.

Sumber: Munie Suraya

Amira

Love yourself.

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.