Siakap Keli
Kredit: Facebook Hari Sukan Negara

DBP Tak Setuju Keputusan KBS Tukar Nama Hari Sukan Negara Kepada Bahasa Inggeris

Kuala Lumpur, 22 Ogos – Dewan Bahasa dan Pustaka tampil menyuarakan ketidaksetujuan atas penukaran nama Hari Sukan Negara kepada Malaysia Sports Challenge.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Steven Sim Chee Keong baru-baru ini menukar nama sambutan tersebut kepada Malaysia Sport Challenge 2019 atas alasan menaikkan prestij acara itu serta melibatkan sektor sukan global.

Tindakannya itu meraih kecaman daripada orang ramai yang menyifatkan penukaran tersebut sebagai bercanggah dengan usaha memartabatkan bahasa Melayu dalam acara kebangsaan.

“Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dan Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 memperuntukkan bahawa bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan hendaklah digunakan sebagai bahasa rasmi.

“Bahasa rasmi yang dimaksudkan ialah bahasa yang digunakan dalam semua maksud rasmi yang meliputi wacana lisan dan tulisan di peringkat Kerajaan Persekutuan, Kerajaan-kerajaan Negeri, Badan-badan Berkanun dan Pihak Berkuasa Tempatan.

“Penjenamaan semula ini menunjukkan pihak KBS tidak selari dengan hasrat kerajaan untuk meluaskan penggunaan bahasa Melayu termasuklah dalam program rasmi kerajaan,” kata wakil DBP dalam satu kenyataannya hari ini.

Kementerian Belia dan Sukan menyasarkan 5 juta penyertaan rakyat dari pelbagai peringkat termasuk kanak-kanak, wanita, belia, warga emas dan orang kelainan upaya dalam Hari Sukan Negara yang bakal diadakan pada 12 Oktober ini.

Sumber: Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP)

Amira

Love yourself.

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.