Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Di sebuah klinik di luar bandar, kelihatan seorang pesakit wanita berusia separuh abad menunggu giliran untuk mendapatkan rawatan gigi. Wajahnya sugul, mungkin kerana menahan sakit yang berdenyut-denyut.
Sesudah tiba gilirannya, dia segera masuk ke dalam bilik rawatan untuk bertemu doktor.
“Doktor, saya nak cabut gigi saya ni,” kata si pesakit sebelum sempat ditanya.
Setelah mengambil sejarah kesihatan pesakit, doktor mula melakukan pemeriksaan. Sebaik sahaja pesakit membuka mulut, bau busuk menerpa hidung si doktor yang memakai topeng muka.
Alangkah terkejutnya doktor apabila melihat keadaan mulut pesakit yang agak teruk. Gigi di sebelah atas pada bahagian kanan sudah bergoyang kuat manakala gigi palsu kekal yang dipasang dipenuhi sisa makanan yang terperangkap di bahagian akar gigi.
Mengesyaki sesuatu, doktor kemudiannya menyoal siasat pesakit dan mendapati wanita berkenaan telah mendapatkan khidmat tukang gigi yang datang ke rumah untuk memasang gigi palsu tersebut.
“Saya baru pakai gigi ni 6 bulan,” kata pesakit itu, kecewa. Dia juga telah membelanjakan sehingga RM 500 untuk mendapatkan khidmat tersebut yang akhirnya memakan diri sendiri.
Ini adalah kisah yang dikongsi oleh Bahagian Kesihatan Pergigian Selangor dalam kiriman mereka beberapa hari lalu.
“Inilah akibatnya jika memakai fake denture. Pesakit terpaksa menanggung kesakitan/kehilangan gigi yang pada awalnya masih sihat dan mungkin boleh diselamatkan.
“Seiring kemajuan dunia pergigian, gigi yang hilang boleh diganti semula bagi mengembalikan fungsi. Namun, rawatan haruslah dibuat dengan pengamal pergigian berdaftar.
“Sejauhmanakah peralatan yang digunakan telah dinyahkuman atau disteril. Sekiranya perkara ini tidak dititikberatkan, ada risiko jangkitan daripada pesakit lain.
“Alasan harga yang lebih murah tidak boleh diguna pakai kerana, harga gigi palsu yang ditawarkan di klinik pergigian berdaftar amatlah berpatutan.
“Kesimpulannya, pesakit haruslah bijak membuat timbang-tara dan elakkan daripada tertipu kerana diri sendiri yang akan menanggung risiko pemakaian fake denture. Jangan lupa untuk membuat pemeriksaan dan rawatan hanya dengan pengamal pergigian yang bertauliah.”

