Siakap Keli
Gambar: https://marketingmagazine.com.my

Foodpanda Umum Skim Pembayaran Baharu Bagi Penghantar Makanan Mulai 30 Sept

KUALA LUMPUR, 28 Sept — Syarikat penghantaran makanan dalam talian, foodpanda, melaksanakan skim pembayaran baharu bagi semua penghantar makanannya di luar Lembah Klang, berkuat kuasa 30 Sept, 2019.

Pengarah Urusan foodpanda Malaysia Sayantan Das berkata syarikat itu ketika ini mempunyai lebih 12,000 penghantar makanan bebas di seluruh Malaysia dan skim pembayaran baharu itu akan menyediakan fleksibiliti kepada mereka untuk memilih bila dan di mana mereka mahu bekerja.

“Sistem ini memastikan bahawa penghantar makanan yang mahu bekerja lebih akan menerima kuantiti penghantaran tinggi disediakan kepada mereka dan sebaliknya. Oleh kerana penghantar makanan bekerja dengan foodpanda secara bebas, skim yang disemak semula itu akan membolehkan mereka memperoleh lebih banyak pendapatan berasaskan kepada pesanan yang mereka terima,” kata Sayantan dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata foodpanda juga menaikkan kadar bagi setiap pesanan yang dihantar oleh penghantar makanan.

“Sebagai contoh, seorang penghantar makanan yang sebelum ini menerima RM5 bagi setiap pesanan kini akan menerima RM7. Penghantar makanan juga diberi insentif dengan bonus RM100 selepas menyelesaikan 60 jam bekerja seminggu. Di samping itu, mereka juga menerima tambahan RM1 bagi setiap pesanan antara pukul 11 malam hingga 9 pagi setiap hari,” katanya.

Beliau berkata penghantar makanan juga akan menerima bonus tambahan antara 30 Sept dan 6 Okt, apabila mereka menyelesaikan penghantaran minimum 80 pesanan semasa tempoh tersebut.

— BERNAMA

Siakap Keli

Berita sejurus ia berlaku? Itulah saya....