Siakap Keli
Gambar : ktla.com

Seorang Maut, Lebih 60 Cedera Gempa Bumi Bermagnitud 6.3 Gegar Selatan Filipina

Manila : Seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun maut selepas satu tembok runtuh dan menghempapnya apabila gempa bumi bermagnitud 6.3 menggegar sebahagian pulau Mindanao di selatan Filipina pada Rabu malam, lapor agensi berita China Xinhua memetik kenyataan seorang pegawai tempatan.

Reuel Limbungan, datuk bandar Tulunan di wilayah Cotabato Utara, berkata beliau menerima satu laporan bahawa mangsa telah dikejarkan ke hospital namun disahkan meninggal dunia.

Dua orang lagi mengalami kecederaan di bandar itu susulan gegaran yang melanda bandar tersebut, katanya.

Media tempatan turut melaporkan sekurang-kurangnya 60 orang lagi cedera dalam gempa bumi itu.

Institut Volkanologi dan Seismologi Filipina (Phivolcs) berkata gempa itu, yang berlaku pada pukul 7.37 malam waktu tempatan, mempunyai kedalaman 2 kilometer dan kira-kira 23 kilometer di barat daya Makilala, sebuah pekan dalam wilayah Cotabato Utara.

Menurut laporan media, sekurang-kurangnya 40 orang cedera di Bandar Digos manakala sekurang-kurangnya 20 lagi cedera di Magsaysay, kedua-duanya terletak dalam Davao del Sur dan tiga orang turut dilaporkan cedera di pekan M’lang dalam wilayah Cotabato Utara.

Para pegawai tempatan juga berkata gegaran telah menyebabkan beberapa hospital di kawasan yang terjejas memindahkan pesakit mereka selepas mengalami gempa susulan.

Sumber : Bernama

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.