Siakap Keli

4 Sebab Kenapa Guna Semula Botol Air Plastik Undang Bahaya

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Ada di antara kita yang mempunyai tabiat menyimpan setiap botol air yang dibeli dan menggunakannya kembali. Botol tersebut hanya perlu dibasuh bersih dan diisi dengan air kosong yang telah dimasak, lalu disimpan di dalam peti sejuk. Mesti ramai yang pernah  buat macam ni kan?

Nampak remeh, namun tahukah anda perkara tersebut sebenarnya mengundang bahaya kepada kesihatan. Bukan sahaja botol telah tercemar malah mempunyai banyak kuman dan bakteria. Untuk lebih jelas, ikuti perkongsian oleh Hello Doktor seperti di bawah.

Bahaya guna semula botol air plastik

Anda mungkin terfikir bahawa penggunaan berulang kali botol air plastik boleh mengurangkan pembuangan plastik. Disebalik anda memikirkan hal pencemaran, ada satu isu yang anda mungkin tidak fikirkan dengan baik.

Ia adalah isu keselamatan dan kesihatan tubuh anda. Berikut merupakan antara bahaya penggunaan semula botol plastik kepada tubuh.

1. Tercemar dengan BPA

BPA atau bisphenol-A adalah satu bahan kimia yang banyak digunakan dalam penghasilan produk plastik seperti botol minuman, botol susu dan bekas makanan. BPA yang terdapat dalam botol plastik boleh luntur atau keluar lalu menyebabkan air minuman yang disimpan terdedah kepada BPA. 

2. Pencemaran mikroplastik

Berdasarkan kajian yang dilakukan oleh kumpulan saintis terhadap 259 botol plastik, mereka mendapati bahawa 93% daripada kesemua botol-botol tersebut mempunyai pencemaran mikroplastik.

3. Bahan botol air plastik

Untuk pengetahuan anda, kebanyakan botol plastik sekali guna dihasilkan daripada polyethylene terephthalate atau ringkasnya PET. Ia selamat untuk digunakan tetapi tidak untuk penggunaan berkali-kali. Ia akan menyebabkan bahan kimia dalam botol plastik ini keluar dan bercampur dengan air minuman anda apabila dipanaskan atau tergores.

4. Faktor bakteria

Apabila menggunakan botol plastik berulang kali, ia akan banyak kali bersentuhan dengan mulut dan tangan anda, atau mungkin juga individu lain. Kedua-kedua mulut dan tangan anda merupakan rumah kepada banyak kuman atau bakteria.

Memandangkan mulut botol adalah terlalu kecil, ia agak sukar untuk dibersihkan. Oleh itu, tahap kebersihan botol plastik yang digunakan berulang kali adalah sangat diragui. 

Bagi tujuan penyimpanan air, adalah lebih baik untuk anda membeli botol minuman yang lebih sesuai. Gunakan botol tanpa BPA atau BPA-free untuk penyimpanan air minuman. Buang semua botol plastik yang telah digunakan berulang kali kerana botol plastik tersebut hanya untuk tujuan sekali guna.

Jika ada rakan-rakan anda yang memiliki tabiat seperti ini, nasihatinya untuk pertama kali. Jika dia masih tidak hiraukan nasihat anda, cuba buang botol-botol tersebut tanpa pengetahuan dia. Itupun jika anda berani mengambil risiko untuk tidak dimaki hamun.

Sumber : Muhammad Wa’iz : Hello Doktor

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.

Nur Farra