Siakap Keli
Gambar : Bernama

JPJ Selangor Kutip RM4 Juta Hasil Lelongan Kenderaan Klon

Shah Alam : Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor merekodkan hasil kutipan RM4 juta, selepas melelong 246 kenderaan klon menerusi program lelongan awam, yang dijalankan selama dua hari bermula semalam.

Pengarah JPJ Selangor, Nazli Md Taib berkata daripada jumlah kenderaan tersebut, enam daripadanya dilelong secara ‘scrap’ iaitu ceraian alat ganti yang mana ia tidak boleh dilesenkan.

”Program ini merupakan kali pertama sesi lelongan melibatkan kenderaan klon yang disita JPJ Selangor sejak tiga tahun lepas. Lelongan 246 kenderaan klon itu melibatkan 245 buah kenderaan pelbagai jenis, serta jenama dan satu motosikal.

”Dalam program ini, sebuah kereta jenis Mercedes Benz SL350 berjaya dilelong dengan harga RM50,000 manakala harga kenderaan paling rendah dilelong iaitu sebuah bas mini dengan harga RM1,000,” katanya selepas Majlis Lelongan Awam Kenderaan Klon JPJ Selangor, di Dewan Teratai Majlis Bandaraya Shah Alam, di sini hari ini.

Beliau berkata kesemua pembida boleh membuat tuntutan kenderaan masing-masing mulai Rabu depan (6 Nov) di Unit Sita JPJ Selangor di sini.

Sementara itu, seorang pembida tertinggi pada sesi lelongan tersebut, Akmal Amin, 34, memberitahu beliau membeli dua buah kereta jenis Mercedes Benz untuk kegunaannya sendiri.

”Saya berjaya membuat bidaan untuk mendapatkan kereta Mercedes Benz SL350 dengan harga RM50,000 dan Mercedes Benz SL500 pada harga RM36,000. Walaupun ada sedikit ‘lari bajet’ tapi pada saya, ia berbaloi kerana saya memang meminati jenama tersebut,” katanya

Sumber : Bernama

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.