Siakap Keli

Dapat Lebih 20k ‘Likes’, Gadis Kongsi ‘Rahsia’ Diet Untuk Hilang Berat 45kg

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Siapa yang tak mahu miliki fizikal yang ideal, kan? Semua orang nak. Namun, untuk dapatkan tubuh badan yang sihat dan cantik itu kita perlukan usaha dan motivasi berterusan.

Seorang pengguna Twitter, Zubieda Boudjit mendapat perhatian ribuan warga maya apabila berkongsi gambar transformasi berat badannya dalam tempoh satu tahun sahaja.

Perubahan drastik Zubieda membuatkan ramai netizen ingin tahu teknik diet yang diamalkannya bagi mendapatkan fizikal yang lebih sihat.

Setahun tak makan nasi

Gambar hiasan. (Kredit: Tribun News)

Kata Zubieda, dia berjaya menurunkan berat badan sebanyak 45 kilogram dalam tempoh setahun sejak 2018 dengan mengamalkan diet Atkins.

“Saya tak makan nasi dah setahun satu bulan sejak 17 Oktober 2018 sampai hari ni. Saya kurangkan gula dari minuman dan makanan. Saya tak ambil mi, bihun, kuetiau, roti canai, roti dan sebagainya,” kongsi Zubieda di laman Twitter miliknya.

“Saya tinggal di asrama. Jadi setiap kali waktu makan tengah hari, saya tak beli nasi. Saya beli lauk saja sampai akak abang kafe tu tahu dah apa saya beli.

“Saya ambil ayam atau ikan, sayur, tauhu atau begedil atau kalau habis, saya ambil kentang yang dia rebus dan masak dengan sambal tu,” tambah Bieda yang turut mengambil tempe sebagai sumber protein.

Tak lapar ke?

“Ada juga yang tanya, Tak makan nasi tak elok kan? Tak lapar ke?

“Saya tak makan nasi tapi saya ambil sumber zat cukup iaitu protein, karbohidrat dan serat dalam satu pinggan ketika makan tengah hari. Saya ambil buah epal atau oren atau kadangkala pisang ketika waktu snek,” katanya.

Contoh snek buah-buahan. (Kredit: Harvard Health – Harvard University)

Disebabkan dia tinggal di asrama, Bieda mengutamakan buah yang boleh disimpan tanpa peti sejuk. Selain itu, dia turut mengambil makan malam sebelum pukul 8.

“Makan malam sebelum pukul 8. Biasanya saya beli ayam seketul dan makan buah di bilik,” ujarnya.

“Kalau nak makan nasi tak apa tau, tapi makan dalam jumlah yang sikit dan sekali sehari sahaja. Air manis tu paling penting kena kurangkan, okay? Buat perlahan-lahan dan badan korang akan belajar suaikan diri.”

Di samping itu, Bieda turut mengamalkan meminum jus lemon setiap pagi dan malam sebelum tidur untuk membantu penghadaman.

“Salah satu kebaikan air lemon ialah ia membantu tingkatkan kualiti kulit korang disebabkan vitamin C di dalamnya.”

Pergi gim 2 kali seminggu

Tak lengkap diet tanpa senaman. Menurut Bieda, dia sering ke gim di kolejnya sekurang-kurangnya dua kali seminggu.

“Saya buat hitt workout dan lari treadmill selama 20 minit. Saya pergi gim sekurangnya 2 kali seminggu dan maksimum 4 kali seminggu.

“Kalau korang malas-malas pun, buat la plank ni 5 minit sehari. Buat hari-hari dan korang akan nampak hasilnya. Percayalah,” kongsi Bieda.

Kredit: Bright Side

‘Terbabas’ tu pasti

Tak terlepas dari ‘tergelincir dari landasan’, Bieda mengaku pernah ‘hanyut’ hingga naik satu atau dua kilogram.

Cheat day tu pasti. Tak mungkin setahun tu komited gila dengan diet. Ada ja cheat kadang, lepastu ternaik 1 atau 2 kg. Tapi macam saya cakap, jangan sampai terhanyut lama. Kembali ke pangkal jalan secepatnya.”

“Awalnya ia jadi cabaran, lama kelamaan ia akan jadi rutin. Mulanya badan akan terkejut, lama-lama dia dah pandai dan mula adaptasi. Jadikan ia sebagai gaya hidup, barulah korang rasa benda tu tak membebankan.

“Lagipun diet dan senaman bukan untuk nampak cantik sahaja tapi untuk kesihatan kita juga,” ujar Bieda.

Cantik, kan? Macam adik beradik Senrose. (Kredit: Zubieda Boudjit)

Sumber: Zubieda Boudjit

Amira

Love yourself.