Siakap Keli

Pembantu Jurutera Audio Didakwa Cederakan Isteri Dihantar Pemeriksaan Mental

KUALA LUMPUR, 14 Nov (Bernama) — Seorang pembantu jurutera audio di sebuah stesen televisyen hari ini dihadapkan kes Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan mencederakan isterinya yang sarat mengandung.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada Zulkifli Taib, 38, yang kelihatan tidak keruan di dalam kandang tertuduh selepas pertuduhan dibacakan kepadanya.

Hakim Mahyon Talib memerintahkan tertuduh dirujuk  ke Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak bagi pemeriksaan mental mengikut Seksyen 342(5) Kanun Tatacara Jenayah selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya Nurliyana Mohd Jafri.

Nurliyana berkata mengikut Seksyen 342(5) kanun berkenaan, mana-mana tertuduh yang disyaki tidak sempurna akal hendaklah dihantar ke Hospital Psikiatrik untuk pemerhatian bagi tempoh tidak melebihi satu bulan.

“Tertuduh juga ada janji temu di Klinik Kesihatan Putrajaya, pada 6 Dis nanti,” katanya selepas tertuduh yang tidak diwakili peguam itu seperti tidak memahami pertuduhan yang dibacakan jurubahasa dan menyoal beberapa kali.

Mengikut pertuduhan, Zulkifli didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap isterinya yang berusia 35 tahun dengan menggunakan pisau lipat hingga cedera di bahagian limpa di sebuah rumah di Presint 9, Putrajaya pada 9 pagi, 8 Nov lepas.

Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum menurut Seksyen 326A kanun sama.  Kesalahan di bawah Seksyen 324  memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau dengan denda atau dengan sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu.

Terdahulu ketika prosiding, suasana sedih menyelubungi mahkamah apabila ibu dan keluarga tertuduh dilihat menangis teresak-esak selepas tertuduh menangis di dalam kandang tertuduh.

Ketika Hakim Mahyon bertanya kepada tertuduh “Awak faham (pertuduhan)  tidak?”, tertuduh hanya mendiamkan diri dan kemudiannya menangis teresak-esak.

Mahkamah  menetapkan 13 Dis untuk sebutan semula kes dan laporan psikiatri.

Sebelum ini Bernama melaporkan, seorang guru mengandung 37 minggu cedera ditikam suaminya yang dipercayai mengalami kemurungan. Wanita berusia 35 tahun itu dikatakan terpaksa memandu sendiri dari rumahnya ke Hospital Putrajaya sejauh kira-kira 3 kilometer untuk mendapatkan rawatan.

Pada hari sama, kira-kira jam 9.50 pagi, wanita itu selamat melahirkan bayinya menerusi kaedah pembedahan.

Sumber: Bernama

syafiq halim

Top Fan Sepanjang Masa