Siakap Keli

Filem Animasi Bertaraf Antarabangsa Ejen Ali The Movie Terjah Pawagam 28 November Ini

Primeworks Studios dan Wau Animation mempersembahkan sebuah filem animasi hebat, EJEN ALI THE MOVIE yang akan menguasai pawagam pada 28 November 2019 ini, bersempena dengan musim cuti sekolah.

Tayangan perdana filem animasi yang diadakan di pawagam Golden Screen Cinemas Mid Valley Megamall, merupakan filem pertama siri animasi popular TV Ejen Ali yang telah diangkat dari kaca TV ke layar perak atas sambutan hebat penonton.

EJEN ALI kini menjadi salah satu daripada jenama animasi popular Asia yang telah berjaya meraih lebih dari 2 juta penonton di TV3 serta mempunyai lebih dari 1.45 juta pengikut di laman rasmi YouTube.

Bercakap pada sidang media pada malam tayangan perdana EJEN ALI THE MOVIE, Datuk Ahmad Izham Omar selaku Ketua Pegawai Eksekutif Primeworks Studios berkata, “Kami berharap untuk menutup tirai tahun 2019 dengan mendominasi animasi tempatan di semua pawagam. Tahniah diucapkan kepada Wau Animation di atas karya hebat dan sumbangan mereka yang sekaligus berjaya membawa industri perfileman Malaysia ke peringkat yang lebih tinggi.

”Kami juga berharap agar peminat dan pencinta filem akan ke pawagam untuk menyokong filem Ejen Ali yang bakal ditayangkan pada musim cuti sekolah yang akan datang.”

Ketua Pegawai Eksekutif Wau Animation, Usamah Zaid Yasin, juga berkata, “Kami sangat menghargai sokongan padu yang diberikan oleh peminat tegar Ejen Ali yang sentiasa memberi semangat dan mendorong kami untuk mencapai penanda aras yang tinggi bagi filem ini. Kami juga berharap agar segala usaha serta keringat yang dicurahkan dalam penghasilan filem ini dapat menjangkaui harapan peminat tegar animasi Ejen Ali.”

Seiring dengan tayangan filem ini, single pertama runut bunyi bagi EJEN ALI THE MOVIE ‘Bukalah Matamu’ turut dipersembahkan oleh Aisyah Aziz buat julung kalinya. Lagu hit ini dilancarkan pada 20 September 2019 dan mendapat tempat di semua digital platform tempatan.

Lirik video di Youtube telah mendapat sambutan hangat dan berjaya mencecah lebih 940,000 tontonan hingga ke hari ini.

Lagu tema kedua yang bertajuk “Kita Jaga Kita” nyanyian artis hip-hop tersohor, Altimet bergandingan bersama Cuurley dan Malik Abdullah telah dilancarkan di semua platform digital pada 25 Oktober 2019, diikuti dengan lirik video yang sudah melebihi 600,000 tontonan.

Primeworks Studio dan Wau Animation juga turut mengumumkan kolaborasi bersama penaja utama EJEN ALI THE MOVIE iaitu Tenaga Nasional Berhad disertai dengan rakan penaja Mydin dan Pediasure yang berganding bahu bagi menjayakan kempen pemasaran serta jelajah siri bersama.

Bersempena dengan tayangan filem EJEN ALI THE MOVIE, produk-produk jenama terbaru Ejen Ali turut diperkenalkan antaranya ialah mandian kanak-kanak Carrie BacBuster, kelengkapan sekolah, alat-alat permainan, makanan ringan dan sebagainya. Produk-produk ini akan dipasarkan di beberapa pusat membeli-belah seperti, Mydin, Parkson, AEON dan lain-lain lagi.

EJEN ALI THE MOVIE dikuasakan oleh Tenaga Nasional Berhad, bakal melancarkan misinya di 160 pawagam seluruh Malaysia, Singapura dan Brunei mulai 28 November 2019.

Sempena musim cuti sekolah, ibu bapa boleh membawa anak-anak menonton Ejen Ali menyelesaikan misi dalam EJEN ALI THE MOVIE.

Nurul Alia Ali