Gambar : Google

Pemansuhan BIPK Hanya Libatkan Lantikan Baharu, Penerima Sedia Ada Tetap Terima Seperti Biasa

Pemansuhan Bayaran Insentif Perkhidmatan Kritikal (BIPK) hanya melibatkan pelantikan baharu sahaja yang dilantik mulai 1 Januari 2020, kata Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

JPA dalam kenyataan hari ini berkata penerima BIPK sedia ada tidak terjejas dan akan terus menikmati pembayaran BIPK secara Khas Untuk Penyandang (KUP) mengikut kadar sedia ada yang dinyatakan dalam Surat Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 17 Tahun 2007 sehingga meninggalkan perkhidmatan.

“Bagi pegawai yang berkhidmat secara kontrak, sekiranya tarikh tamat kontrak dan pelantikan semula melalui kontrak baharu pegawai adalah secara terus-menerus dan tidak terputus tempoh perkhidmatannya, maka pegawai masih layak untuk terus menerima BIPK dalam perkhidmatan kontraknya,” katanya.

Kenyataan itu dikeluarkan susulan maklumat yang tular di media sosial semalam yang mempersoalkan pemansuhan BIPK.

JPA menjelaskan, walaupun beberapa elaun termasuk BIPK telah dimansuhkan, kajian elaun sentiasa dilaksanakan secara berterusan dari semasa ke semasa.

Katanya JPA dan Kerajaan masih mempertimbangkan pemberian elaun jika terdapat mana-mana skim perkhidmatan atau disiplin tertentu yang memenuhi kriteria pemberian elaun yang ditetapkan.

Menurut JPA, BIPK mula diperkenalkan semasa Sistem Saraan Baru (SSB) pada tahun 1992 yang secara prinsipnya, tahap kritikal sesuatu perkhidmatan akan berubah mengikut keadaan dan keperluan berdasarkan kepada penawaran dan permintaan sesuatu disiplin perkhidmatan dalam pasaran semasa.

“Ini bermakna bahawa sesuatu perkhidmatan kritikal itu boleh berubah menjadi kurang kritikal dan juga sebaliknya. Atas hakikat ini, kajian dan penilaian teliti yang berterusan adalah perlu bagi pelaksanaan Perkhidmatan Kritikal,” jelasnya.

Selaras dengan laporan SSB itu juga, JPA berkata kajian mengenai BIPK secara berterusan hendaklah dilaksanakan setiap lima tahun bagi menentukan kewajaran pemberiannya.

“Dari segi prinsipnya, pemberian BIPK adalah tidak kekal serta boleh ditarik balik apabila skim-skim perkhidmatan berkenaan tidak lagi kritikal,” katanya.

JPA berkata sejak dilaksanakan selama 27 tahun, kajian BIPK telah dilaksanakan hanya sebanyak tiga kali iaitu pada tahun 1997, 2001 dan 2007.

Menurutnya kajian terbaharu dilaksanakan pada 2019 mendapati kesemua 33 skim perkhidmatan yang diperuntukkan dengan BIPK tidak lagi menepati kriteria pemberian asal iaitu skim-skim perkhidmatan berkenaan tidak lagi kritikal kerana tidak lagi memenuhi kriteria ciri-ciri penawaran yang rendah serta pengisian jawatan yang sukar dilakukan.

Antara skim perkhidmatan tersebut ialah Pegawai Kawalan Trafik Udara, Pegawai Perubatan, Pembantu Perubatan, Penerbit Rancangan, Arkitek, Arkitek Laut, Jururawat, Jurutera, Jurutera Laut, Pegawai Farmasi, Pegawai Perikanan, Pegawai Pergigian, Pegawai Undang-Undang, Pegawai Penyelidikan serta Juruukur Bahan.

“Diharapkan penjelasan ini dapat memberikan gambaran sebenar tentang pelaksanaan BIPK kepada anggota perkhidmatan awam yang terlibat dan seterusnya dapat memberikan perkhidmatan yang lebih cemerlang kepada rakyat,” kata JPA.

 

Sumber: Bernama, Jabatan Penerangan Malaysia

Edayu

Lebih banyak menulis dari bersembang

Editor: Azmil

Tambah komen