Siakap Keli

Bekas Pemain Hoki THT Meninggal Dunia

Bekas pemain hoki Terengganu Hockey Team (THT), Syamiru Aiman Bidin meninggal dunia kira-kira pukul 11.48 pagi tadi di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini akibat kanser di kepala.

Timbalan Persatuan Hoki Terengganu (PHT), Mohd Fikri Harun berkata pemergian beliau disifatkan sebagai kehilangan besar buat arena hoki khususnya Terengganu kerana komitmennya yang tinggi   di dalam dan luar padang.

Beliau berkata allahyarham yang berusia 27 tahun dan belum berkahwin pernah menyarung jersi THT pada 2013 hingga 2016 selain menyertai skuad Sukan Malaysia (SUKMA) pada 2014.

“Arwah seorang pemain yang sangat berdedikasi dan ‘kegilaannya’ terhadap sukan hoki sememangnya diketahui ramai. Malah ketika allahyarham dilanda kemurungan akibat kehilangan ibunya, beliau masih bermain hoki bersama pasukan Piala Razak tahun lalu dan meraih tempat ketiga,” katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

Mohd Fikri berkata jenazah allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Kua, Kuala Berang, selepas waktu Asar.

“Justeru saya mengharapkan agar peminat setia hoki di seluruh tanah air berdoa agar roh beliau ditempatkan di kalangan golongan yang beriman,” katanya.

Sumber: BERNAMA

Sofea

There's always another side to every story

Nur Farra