Siakap Keli

(Video) Padang Pasir Dilitupi Salji Gemparkan Penduduk Arab Saudi

Satu ribut kuat dengan suhu dibawah takat beku yang membadai bahagian gurun Arab Saudi telah mengubah pemandangan di sekitar kawasan negara itu daripada gurun kepada seperti sebuah taman tema musim sejuk.

Penduduk di daerah Tabuk, yang terletak 193 kilometer daripada Laut Merah, teruja melihat gurun kering di rantau itu dilitupi dengan salji putih.

Tabuk, yang juga merupakan kawasan paling sejuk di Arab Saudi, secara lazimnya suhu di kawasan itu akan turun sehingga 4 darjah Celcius tetapi dengan keadaan biasanya sedikit kering, lapor ahli meteorologi AccuWeather, Eric Leister.

“Ribut kuat yang dikesan dari selatan Eropah dan Mediterranean serta menuju ke Timur Tengah minggu lalu, telah membawa udara sejuk ke negara tersebut dan telah menyebabkan terhasilnya salji di kawasan berkenaan,” ujar Leister.

Video-video memaparkan unta-unta berkeliaran di kawasan salji telah menjadi tular di media sosial. Penduduk setempat juga dilihat menikmati kejadian tersebut dengan bermain salji.

Disebabkan kejadian unik tersebut berlaku, kawasan itu telah menjadi tumpuan penduduk setempat serta para pelancong untuk mengunjungi kawasan terbabit, lapor media tempatan.

Sungguhpun pelbagai perkongsian yang dikongsi oleh penduduk setempat berkenaan dengan fenomena itu menjadi tular di media sosial, ramai yang mempersoalkan tentang kesahihan perkongsian itu.

Fenomena salji di Arab Saudi ini walau bagaimanapun bukanlah sesuatu yang luar biasa.

Ini kerana, negara tersebut pernah mengalami fenomena yang sama pada April tahun lalu.

Baca: Negara 4 Musim Terdekat, Ini Antara Sebab Ramai Orang Nak Sangat Pergi Australia

Sumber: ABC News

Aqmal Ezany

I write what is right