Siakap Keli

”Saya Makan ‘Kepok Lekor’”, Pelumba Korea Cuba Korek Rahsia Jijoe Menang 3 Emas

Bagi menungguli sesuatu acara suka itu, individu tersebut perlulah mengorbankan pelbagai benda demi untuk merealisasikan impian itu.

Bagi “The Pocket Rocket Man”, pertabalannya sebagai pelumba keirin nombor 1 dunia bukanlah sesuatu yang mudah untuk dikecapi. Pelbagai onak dan duri perlu ditempuhinya untuk berada tinggi di puncak ketika ini.

Menerusi muatannnya di Facebook, beliau ada berkongsikan berkenaan dengan perit jerih yang dilaluinya semasa awal-awal dahulu dia mencipta sejarah dalam sukan basikal trek ini. Untuk mengetahui dengan lebih lanjut, ikuti perkongsiannya seperti berikut:

Maka tibalah hari kejohanan. Saya memasuki empat acara iaitu Sprint, Keirin, 1km ujian masa dan juga Pecut Berpasukan. Untuk disiplin pecut ini, kira lengkaplah acara yang saya sertai. Semua acara saya masuk.

Waktu inilah saya bagitahu diri saya, alang-alang mencelup pekasam, biar sampai ke pangkal lengan. Cuba anda semua teka, dari empat acara ini, medal warna apa dan berapa medal saya menang?

Sejarah tercipta

Untuk makluman anda semua, saya telah mencipta suatu sejarah dalam arena sukan lumba basikal pada masa itu. Saya telah memenangi tiga pingat emas untuk kesemua acara individu saya iaitu Sprint, Keirin dan 1km ujian masa, manakala perak untuk acara Pecut Berpasukan, itupun kerana tayar salah seorang dari rakan pasukan pancit ketika perlumbaan final untuk pingat emas.

Perlumbaan untuk semua acara memang begitu sengit. Ketika itu tentangan paling hebat adalah dari pelumba Korea. Ada seorang pelumba Korea yang mendapat pingat perak dalam acara Sprint dan Keirin dibelakang saya, memberikan tabik spring kerana saya masih boleh berkayuh dengan cemerlang dalam dua lagi acara lain.

Beliau sempat bertanya apa yang saya makan, saya pun berseloroh, Kepok Lekor. Acara yang paling mengazabkan adalah 1km ujian masa. Selepas bertarung dua hari berturut-turut dalam acara Sprint dan Keirin, tahap tenaga saya sedikit susut.

Pelumba Korea dan Jepun beri persaingan sengit

Acara 1km ini memang perit, seperti anda berlari pecut 100meter tetapi anda kena berlari sejauh 1km dengan pace yang sama. Muntah hijau. Ketika perlumbaan berlangsung, saya mendapat persaingan sengit dari pelumba Korea dan Jepun.

Ditengah terik panas matahari, saya berkayuh habis-habisan, mengeluarkan segala kudrat yang ada. Dalam hati saya, mati pun mati lah. Saya terbongkang selepas perlumbaan tamat, kaki saya umpama jeli. Alangkah gembiranya saya apabila mendapat tahu yang saya adalah pemenang, kesemua kesakitan menjadi sebuah hadiah yang tidak ternilai harganya.

Pengorbanan yang tidak sia-sia

Saya rasa sungguh bersyukur kepada Allah SWT diatas semua pencapaian ini dan dalam masa yang sama saya merasa sangat puas dan berbaloi. Pengorbanan saya bersusah-payah, diuji dengan pelbagai onak dan duri kehidupan membuahkan hasil yang amat lumayan.

Ikhlas kata, saya sungguh tidak menyangka saya dapat melakukan semua ini dengan apa yang saya hadapi. Tetapi Allah itu Maha Mengetahui. Dia tidak akan menguji hambanya kecuali sesuai dengan kemampuannya.

Andai kata saya mengalah dengan ujian yang diberikan, sudah tentu nama saya tidak terpahat didalam sejarah sukan negara hari ini. Saya pergi mengucapkan terima kasih kepada semua rakan-rakan, jurulatih dan yang ada ketika hari perlumbaan tersebut.

Dan sudah tentu ucapan terima kasih tidak terhingga kepada Uncle yang banyak membantu. Teringat pula ucapan Uncle ditengah Velodrome Cheras waktu itu,
“Ajijul, saya tahu u manyak bagus maaa, tapi ini hali saya baru tahu u memang lain macham woo”
Wartawan pun datang berpusu-pusu melontar pelbagai soalan.

Saya menjawab dengan air mata yang bergelinangan. Mungkin mereka ingat saya sebak dengan pencapaian. Tetapi ianya lebih dari sebuah pertandingan. Saya simpan, tiada siapa tahu sampai sekarang.

Sumber: Azizulhasni Awang

Aqmal Ezany

I write what is right

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.