Siakap Keli
Gambar: Bernama

Bazar Peduli Rakyat Negeri Sembilan Catat Jualan Lebih RM126,000

JELEBU, 31 Jan (Bernama) — Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Negeri Sembilan merekodkan nilai jualan sebanyak RM126,876 menerusi program Bazar Peduli Rakyat (BPR), tahun lepas, kata Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian dan Industri Asas Tani negeri Bakri Sawir.

Beliau berkata ia merupakan hasil keseluruhan jualan direkodkan melibatkan enam kali penganjurannya di negeri ini sejak ia bermula Mei tahun lepas.

“Di Taman Kemuning, Senawang kita memperoleh nilai jualan berjumlah RM87,121 dengan penglibatan seramai 90 orang usahawan tani manakala di Kampung Rawa, Lenggeng memperoleh nilai jualan RM39,755 dengan penglibatan 69 orang usahawan tani,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Bernama selepas majlis Pelancaran Bazar Peduli Rakyat@Jelebu di sini, hari ini yang turut dihadiri, Pengarah FAMA negeri Asmizal Jaafar, Pengarah Perikanan negeri Halimi Abu Hanip dan Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar negeri Dr Nik Hamidah Nik Husin.

Mengenai BPR Jelebu yang diadakan di Klawang, Bakri berkata ia merupakan lokasi terbaharu di negeri ini membabitkan seramai 29 usahawan yang menawarkan harga barangan keperluan harian sehingga 30 peratus lebih murah berbanding harga pasaran.

Katanya, antara barangan keperluan harian yang dijual ialah sayur, telur, hasil laut kering, buah-buahan, ayam segar, daging segar, ikan laut, produk industri asas tani, kraftangan, anak pokok buah-buahan dan baja.

“Bazar ini diadakan bagi menyediakan lokasi membeli-belah alternatif bagi pengguna untuk mendapatkan barangan keperluan pada harga yang lebih rendah dan berpatutan selain menjadi pasaran alternatif bagi usahawan tani untuk memasarkan secara terus hasil pertanian dan produk agro makanan keluaran mereka bagi meraih pulangan yang lebih munasabah,” katanya.

Sumber: Bernama

syafiq halim

Top Fan Sepanjang Masa