Siakap Keli

Jangan Ambil Mudah Jika Gatal-Gatal Ketika Hamil, Ada Risiko Bayi Mati Mengejut

Rasa gatal mungkin dianggap sebagai perkara biasa. Namun ada kala kegatalan yang dialami itu tidak boleh diabaikan terutamanya jika ia melibatkan ibu hamil. Tetapi kenapa ya?

Rasa gatal

Kegatalan kulit yang dialami oleh individu yang hamil mungkin merupakan salah satu kesan sampingan kehamilan. Keadaan ini dipanggil sebagai Obstetric Cholestasis (OC), Cholestasis of pregnancy atau intrahepatic cholestasis of pregnancy. 

Ia menyebabkan kegatalan yang teruk, terutama pada tangan dan kaki. Keadaan ini biasanya tidak menimbulkan sebarang risiko yang serius untuk kesihatan jangka panjang ibu. Walau bagaimanapun, ia berisiko untuk menimbulkan komplikasi teruk kepada bayi.

Istilah “cholestasis” berasal daripada perkataan Yunani “chole” yang bermaksud “hempedu” (bile) dan “stasis,” yang bermaksud “masih”. OC berlaku apabila hati tidak boleh melakukan proses penyingkiran melalui hempedu dengan betul. Hempedu merupakan organ yang membantu memproses lemak badan.

Simptom

Seperti yang dinyatakan di atas, gejala paling utama OC adalah rasa kegatalan yang tinggi; tiada sebarang ruam atau bintik kemerahan. Walaupun dikatakan ia lebih cenderung dirasai pada bahagian tapak tangan dan kaki, namun terdapat juga individu yang mengalaminya di mana-mana bahagian badan. Kegatalan yang dialami biasanya lebih teruk menjelang pada sebelah malam dan menyebabkan kesukaran untuk tidur.

Paling biasa kegatalan berlaku pada trimester ketiga kehamilan (minggu ke 28- kehamilan dan ke atas), namun masih ada juga yang mengalami lebih awal. Rasa gatal yang dialami mungkin akan menjadi semakin teruk menjelang tarikh anda bersalin. Walau bagaimanapun, kegatalan yang berlaku akan semakin berkurangan selepas melahirkan bayi.

Tanda dan simptom OC lain yang mungkin berlaku adalah seperti:

  • Kulit dan mata menjadi kekuningan (jaundis)
  • Loya
  • Hilang selera makan
  • Warna urin pekat atau gelap

Punca 

Punca OC adalah tidak jelas. Genetik dan perubahan hormon kehamilan mungkin menjadi antara penyebab berlakunya masalah kegatalan ini. Anda berisiko untuk mengalami OC, sekiranya:

  • Mempunyai sejarah OC pada kehamilan terdahulu
  • Mempunyai ahli keluarga yang pernah mengalami masalah kegatalan ini
  • Mempunyai sejarah masalah kesihatan berkaitan penyakit atau kerosakan hati
  • Mengandung bayi kembar atau lebih

Jika anda pernah mengalami masalah ini, risiko untuk keadaan ini berulang pada kehamilan seterusnya adalah kira-kira 90 peratus. Tinggi, bukan?

Komplikasi

Kesan daripada Obstetric Cholestasis mungkin boleh berlaku kepada ibu atau melibatkan tumbesaran bayi di dalam kandungan.

Bagi ibu, keadaan ini mungkin memberikan kesan sementara kepada fungsi badan dalam menyerap lemak. Penyerapan lemak yang tidak mencukupi boleh mengakibatkan penurunan tahap vitamin K – yang melibatkan proses pembekuan darah. Walau bagaimanapun, keadaan ini jarang untuk berlaku.

Bagi bayi dalam kandungan pula, komplikasi OC boleh menjadi serius. Antaranya adalah seperti:

  • Bayi lahir terlalu awal (kelahiran pramatang)
  • Masalah melibatkan paru-paru kerana bernafas dalam meconium – sejenis bahan berwarna hijau melekit yang biasanya terkumpul dalam usus bayi – ia mungkin akan memasuki ke dalam cecair amniotik pada ibu jika ibu mengalami OC
  • Bayi boleh meninggal secara tiba-tiba

Oleh sebab risiko bahaya kepada bayi adalah sangat tinggi, maka terdapat kemungkinan doktor mungkin akan mencadangkan untuk menggunakan prosedur kelahiran induce sebelum tarikh bersalin.

Rawatan

Sebenarnya tiada rawatan khusus yang boleh membantu mengatasi rasa gatal yang dialami. Biasanya doktor akan memberikan ubat atau krim sapu seperti calamine untuk membantu mengurangkan rasa gatal. Ubat mengantuk seperti antihistamines mungkin diberikan kepada ibu yang sukar tidur pada waktu malam akibat kegatalan yang dialami.

Merendam bahagian yang gatal dengan air suam mungkin dapat memberikan kelegaan sementara. Anda juga boleh menyapu bahagian terjejas dengan minyak kelapa selepas mandi.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Sumber: Hello Doktor

Azmil

The best preparation for tomorrow is doing your best today. :)