Siakap Keli

Stadium Darul Makmur Masih Belum Peroleh CCC

KUANTAN, 13 Feb — Pengurusan Stadium Darul Makmur di sini, masih belum memperoleh sijil pematuhan kod (CCC) atau dikenali sebagai sijil layak menduduki (CF) untuk gelanggang rasmi skuad Tok Gajah.

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang Mohd Zahar Abdullah berkata, pihaknya sudah bertemu dengan pengurusan stadium dan menawarkan bantuan untuk mereka memperoleh sijil itu.

“Pada perbincangan yang berlangsung hujung tahun lalu, pengurusan stadium bersetuju untuk meningkatkan sistem kebakaran yang perlu ada, selaras dengan permintaan JBPM bagi memperoleh sijil tersebut.

“Kita sedia membantu dari segi teknikal apa sahaja keperluan yang perlu dipatuhi mereka, dalam mendapatkan CCC kerana ia melibatkan aspek keselamatan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan JBPM Pahang di ibu pejabat jabatan di sini, hari ini.

Mohd Zahar berkata walaupun risiko kebakaran di stadium dilihat tidak begitu tinggi ekoran pembinaan yang terbuka dan mempunyai banyak laluan keluar, namun aspek keselamatan kebakaran adalah aspek yang wajib dipatuhi dalam  CCC.

Media sebelum ini melaporkan Stadium Darul Makmur yang dibina pada 1973 merupakan salah satu daripada 13 stadium utama di Malaysia, yang tidak mempunyai sijil itu, sekali gus berisiko mengundang kejadian tidak diingini.

Pada September lalu, kerajaan negeri Pahang telah mengumumkan peruntukan RM100,000 kepada perbadanan pengurusan stadium bagi kerja penambahbaikan ciri keselamatan, sebelum memohon sijil CCC.

Pada perkembangan lain, Mohd Zahar berkata JBPM Pahang akan menggembeleng lebih banyak kekuatan aset dan anggota, untuk memadam kebakaran terbuka yang sering berlaku setiap tahun pada musim kemarau.

“Kita tidak mahu kebakaran terbuka itu berlanjutan terlalu lama untuk dipadamkan sepenuhnya, menyebabkan operasi yang dijalankan bukan hanya melibatkan daerah terlibat, namun dibantu oleh jentera daerah berhampiran,” katanya.

Mohd Zahar berkata berdasarkan statistik, kebakaran belukar atau lalang meningkat pada tahun lalu, iaitu sebanyak 1,291 kes berbanding 764 kes pada 2018.

Peningkatan suhu panas akibat fenomena ekuinoks pada Mac hingga September tahun lalu, didapati menjadi punca peningkatan kes kebakaran terbuka itu.

Sumber : BERNAMA

Aina

Betulkan Yang Biasa , Biasakan Yang Betul

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.