Siakap Keli
Gambar Hiasan via Bernama

Acu Pistol: Polis Tahan Sekumpulan Pengemis Pala’u

LAHAD DATU, 19 Dis — Polis hari ini menahan sekumpulan pengemis kaum Pala’u selepas tular gambar seorang kanak-kanak Pala’u mengacukan pistol semasa sedang mengemis di kawasan lampu isyarat antara Taman Aman Jaya dan Bandar Sri Perdana di sini.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu ACP Nasri Mansor dalam satu kenyataan mengesahkan kejadian acu pistol itu berlaku pada 10.36 pagi ini.

Bagaimanapun, katanya siasatan oleh pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Lahad Datu mendapati pistol yang digunakan kanak-kanak itu adalah pistol mainan yang diberikan oleh ibu kanak-kanak itu untuk bermain dengan kanak-kanak lain.

Susulan itu, Nasri berkata operasi cantas segera dijalankan yang membawa kepada penahanan kumpulan pengemis Pala’u sebanyak 15 orang termasuk kanak-kanak yang tular itu

“Kumpulan pengemis ini terdiri daripada empat wanita bersama-sama lima kanak-kanak lelaki dan enam kanak-kanak perempuan dipercayai anak kandung mereka.

“Kesemua mereka ditahan kerana kesalahan tidak memiliki dokumen yang sah tinggal di Sabah,” katanya.

— BERNAMA

Nur Farra