Siakap Keli
Kredit: Twitter

(Video) Tak Mahu Anak Trauma, Ayah Ajar Anak Ketawa Setiap Kali Dengar Bunyi Bom

Bunyi pesawat tempur dan letupan di sana sini pasti membuatkan mereka yang tinggal di zon perang mengalami trauma.

Inilah yang dihadapi Salwa, kanak-kanak Syria berusia tiga tahun yang tinggal bersama ayahnya di Sarmada, sebuah pekan kecil antara Syria dengan Turki.

Di pekan itulah tempat mereka berlindung ketika ketegangan berlanjutan antara kerajaan Syria dan puak pemberontak di barat laut negara itu.

Dalam satu video yang ditularkan di media sosial, Salwa berdiri di sisi ayahnya, Abdullah al-Mohamed sambil bermain satu ‘permainan’ yang sering dimainkan sesama mereka.

Ketika bunyi gema semakin kuat, Abdullah bertanya Salwa,

“Kapal terbang atau bom?”

“Bom!” jawab Salwa, “Ia akan jatuh sekarang, kita boleh ketawa.”

Sebaik sahaja bunyi letupan kedengaran, anak ini mula ketawa dengan kuat diselangi tawa ayahnya yang semakin sirna.

Hakikat tak seindah permainan

Namun hakikat sebenar tak seindah permainan mereka. Di sebalik senyuman dan tawa girang mereka adalah rancangan si ayah untuk mengalihkan perhatian anaknya yang trauma dengan peperangan.

“Anak-anak di kejiranan kami selalu bermain mercun bawang. Satu hari ketika hari raya, mereka bermain untuk bergembira dan Salwa takut dengan bunyi itu,” kata Abdullah.

“Saya bawa dia ke balkoni untuk tunjuk kepadanya, ia sekadar permainan yang dimainkan untuk menyambut hari raya,” tambah lelaki berkenaan.

Katanya, dia ingin menggunakan cara yang sama untuk meyakinkan Salwa bahawa bunyi-bunyi bom sebenar hanyalah permainan supaya dia tidak takut.

“Saya perlu membuang ketakutan dalam hatinya. Saya ingin dia kaitkan bunyi kuat ini dengan sesuatu yang mudah dan melucukan,” katanya kepada Al-Jazeera.

Walaubagaimanapun, Abdullah menyedari hakikat bahawa permainan itu tidak cukup untuk membantu Salwa mengatasi trauma dalam tempoh yang panjang.

“Dia baik-baik saja buat masa sekarang; dia seorang kanak-kanak yang bermain, ketawa dan bergurau.

“Tapi saya risau bila dia besar nanti, letupan bom berterusan. Dan bila ia berlaku, permainan ini tak lagi cukup untuk melindunginya dari trauma psikologi yang mendalam,” ujar Abdullah.

“Saya tidak mempunyai sebarang jangkaan terhadap masa depan,” katanya.

“Saya ingin dunia tahu, kami bukan pengganas seperti dikhabarkan rejim. Kami adalah manusia, kami adalah jiwa yang mempunyai nilai dan hak untuk terus hidup seperti orang lain di dunia ini,” ucap Abdullah.

Isnin lalu, Assad bersumpah untuk terus menekan dengan serangan di wilayah Idlib dan pinggiran Aleppo.

Televisyen Syria menyatakan tentera yang bersandarkan Rusia telah berjaya ‘membebaskan perkampungan dan pekan-pekan kecil di barat Aleppo’, menandakan kemajuan pihak kerajaan.

Seramai kira-kira 6.7 juta rakyat Syria kini menjadi pelarian dengan 6.2 juta rakyat hilang tempat tinggal di dalam Syria. Anggaran separuh daripada jumlah itu adalah golongan kanak-kanak yang terjejas akibat perang saudara di sana. (World Vision, 2019).

Menurut laporan yang sama, anggaran seramai 500,000 orang termasuk 55,000 kanak-kanak telah terbunuh sejak perang saudara itu bermula pada 2011.

Krisis menjadi semakin buruk setelah negara luar turut menyertai peperangan itu.

Sumber: Al-Jazeera, World Vision

Amira

Love yourself.