Siakap Keli
Kredit: Daily Mail

China Berjaya Pindahkan Paru-paru Baru Kepada Pesakit COVID-19

Sepasukan doktor di Wuxi telah berjaya menjalankan pemindahan peparu kepada seorang pesakit COVID-19 yang mengalami kerosakan organ berkenaan.

Organ tersebut telah diambil dari seorang penderma yang telah disahkan mati otak dan dibawa ke Wuxi dalam tempoh tujuh jam, lapor Daily Mail memetik Global Times.

Pesakit itu telah disahkan negatif secara lima hari berturut-turut sebelum pembedahan dijalankan bagi mengelakkan risiko jangkitan terhadap petugas kesihatan.

Menurut wakil doktor, Dr Chen, pemindahan tersebut mempunyai risiko tinggi kerana kadar kematian melibatkan pesakit kritikal COVID-19 adalah tinggi.

“Ia adalah satu perjudian kerana kami tidak pasti sama ada masih ada virus yang tinggal dalam peparu pesakit, atau adakah ia berjangkit.

“Namun (pembedahan) itu adalah untuk memberi harapan kepada keadaan pesakit yang kritikal,” katanya.

“Jika lebih banyak kes berjaya, saya akan sarankan Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan agar mengumpulkan pasukan perubatan untuk merawat pesakit kritikal dengan pemindahan peparu,” tambah beliau.

Virus COVID-19 yang menyerang sistem pernafasan itu dipercayai merosakkan peparu dan mengakibatkan kegagalan organ berkenaan, menyebabkan kematian pesakit.

Menurut Pakar Mikrobiologi, Mark Fielder, virus itu menjangkiti dan membunuh sel paru-paru pesakit, menyebabkan pneumonia.

Koronavirus berkenaan telah membunuh kira-kira 3,048 mangsa dan menjangkiti 89,000 warga dunia setakat ini.

China merupakan negara dengan kes terbanyak diikuti Korea Selatan.

Gambar peparu pesakit sebelum (kiri) dan selepas (kanan) pemindahan. (Kredit: Daily Mail)

Sumber: Daily Mail, Sky News

Amira

Love yourself.

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.