Siakap Keli

Angka Kematian Meningkat Kepada 463 Orang, Seluruh Itali Dikenakan ‘Perintah Berkurung’

Bilangan kes positif koronavirus di Itali yang telah melepasi 9,100 pada Isnin telah memaksa Perdana Menteri negara itu, Giuseppe Conte untuk menguatkuasakan perintah berkurung di negara tersebut.

Pada hujung minggu yang lalu, kerajaan Itali telah mengeluarkan arahan kuarantin di wilayah utara Lombardy dan 14 lagi wilayah berdekatan. Namun pada Isnin, selepas angka kematian akibat daripada virus Covid-19 mencecah sebanyak 463, Conte telah bertindak memperluaskan zon kuarantin ke seluruh negara yang mempunyai lebih 60 juta penduduk, lapor BBC.

Seorang wartawan BBC bernama Mark Lowen menerusi laman sosial medianya menyatakan bahawa Conte menggesa semua rakyat Itali untuk sentiasa menjaga kebersihan dalam membantu mengawal penularan wabak Covid-19 ini. Beliau juga turut mengarahkan kesemua acara sukan di negaranya dibatalkan.

“Zon merah yang telah ditanda sebelum ini telah diperluaskan ke seluruh negara,” ujar Conte dalam satu sidang media.

Perintah berkurung tersebut akan berkuatkuasa pada hari Selasa dan dijangka akan berpanjangan sehingga 3 April.

Orang ramai boleh terus menggunakan pengangkutan awam untuk pergi dan balik dari kerja, namun perlu memberi penjelasan kepada pihak polis dan pegawai-pegawai kerajaan sekiranya ditanya berkenaan sebab mereka keluar dari rumah, lapor BuzzFeed News. Tiada aktiviti dan perhimpunan di luar yang dibenarkan, kata Conte.

Covid-19 telah dilaporkan tercetus di Wuhan, China, pada hujung tahun lepas dan sehingga kini, virus tersebut telah menjangkiti lebih 111,000 orang secara global dan telah menyebabkan lebih 3,900 kematian. Sehingga Isnin, Itali merupakan negara yang paling teruk di luar benua Asia dilanda dengan wabak itu.

Sepanjang perintah berkurung itu dikuatkuasakan, sekolah, muzium, teater, dan kolam renang di seluruh negara itu telah ditutup, dan majlis perkahwinan serta majlis pengkebumian juga turut dibatalkan. Acara-acara awam juga turut diarah dibatalkan, seluruh bandar dan tempat tumpuan pelancong kini kosong.

Sumber: Business Insider

Aqmal Ezany

I write what is right

syafiq halim

Top Fan Sepanjang Masa