Siakap Keli

Covid-19: Premis, Kawasan Awam Ditutup Mulai Esok – KTS

KUALA LUMPUR, 17 Mac – Susulan perkembangan jangkitan COVID-19 yang semakin meningkat, kebanyakan premis dan kawasan awam akan mula ditutup sementara mulai esok.

Tindakan itu selaras dengan pengumuman Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin malam tadi yang mengisytiharkan bahawa Malaysia akan mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan berkuat kuasa 18-31 Mac di seluruh negara bagi mengekang penularan wabak COVID-19 di negara ini.

Pada Jumaat (13 Mac), kerajaan turut memutuskan agar semua perhimpunan termasuk mesyuarat antarabangsa, acara sukan, sosial dan keagamaan ditangguhkan atau dibatalkan mengikut kesesuaian sehingga 30 April.

Sebanyak 125 kes baharu COVID-19 direkodkan semalam yang menjadikan jumlah kes positif jangkitan wabak itu ialah 553 kes.

Sehubungan itu, Kementerian Tenaga dan Sumber Asli telah mengarahkan taman Eko Rimba Bukit Nanas dan Hutan Simpan Sungai Besi di bawah seliaan Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) ditutup berdasarkan perintah yang dikeluarkan kerajaan.

Selain itu, tempat-tempat awam di bawah seliaan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Semenanjung Malaysia juga akan ditutup sementara, katanya dalam satu kenyataan.

Tempat awam itu meliputi Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah, Paya Indah Wetlands, Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan di Sungkai, Perak; Pusat Konservasi Hidupan Liar dan Pusat Pendidikan Biodiversiti.

Arahan penutupan itu juga terpakai kepada kampus Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) termasuk taman Botani Kepong dan Taman Etnobotani FRIM.

Manakala bagi Taman Negara Pahang, Taman Negara Kelantan, Taman Negara Terengganu dan Taman Negara Pulau Pinang tiada lagi permit masuk baharu akan diluluskan mulai 17 Mac, 2020.

Sementara itu, di PERAK, Pengarah Jabatan Perikanan, Zaki Mokri berkata dalam satu kenyataan Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu (PKPP), Segari, di Lumut ditutup sementara sehingga ke suatu tarikh yang akan diumumkan nanti memandangkan lokasi itu menjadi tumpuan ramai pelancong dalam dan luar negara terutama pada musim cuti sekolah.

 

Sumber: Bernama

Edayu

Lebih banyak menulis dari bersembang