Siakap Keli
Gambar: Ahmad Luqman Bukhari

“Tak Seronoklah Nak Balik,” Petugas Kesihatan Bimbang Akan Nasib Rakan Setugas Dijangkiti Covid-19

Kesan penularan wabak Covid-19 ini boleh dirasai di seluruh dunia apabila sebahagian perniagaan-perniagaan serta pejabat urusan terpaksa ditutup bagi memutuskan rantaian jangkitan yang disebabkan oleh virus ini.

Selepas WHO mengisytiharkan wabak ini sebagai pandemik, pelbagai langkah pencegahan telah dicadangkan dalam usaha memerangi virus maut ini. Petugas perubatan juga turut dikerah bekerja lebih masa untuk merawat pesakit-pesakit yang telah disahkan positif.

Sungguhpun begitu, terdapat segelintir pesakit yang menyembunyikan sejarah status kesihatan serta bersikap tidak telus semasa ujian saringan dilakukan oleh doktor. Ianya bukan sahaja boleh menyebabkan wabak ini terus menular, malahan ianya akan menyebabkan bilangan kakitangan kesihatan berkurangan setelah mereka ini dijangkiti dengan wabak tersebut.

Seorang doktor bernama Ahmad Luqman Bukhari ada berkongsikan tentang senario yang dihadapinya semasa berhadapan dengan pesakit yang dijangkiti Covid-19. Untuk mengetahui dengan lebih lanjut, ikuti perkongsiannya seperti berikut:

“Eh, kenapa tak balik lagi?”

Pelik jugak kami. Sepatutnya shift nya dah berakhir sejak jam 10 malam tadi.

Tapi ni dah hampir 12 malam, dia masih duduk bersebelahan meja komputer dalam pejabat. Kelihatan termenung panjang seolah-olah memikirkan sesuatu.

“Tak seronoklah nak balik. Takut sangat kalau orang kat rumah terjangkit.”

Raut mukanya membayangkan sebuah kebimbangan yang besar.

Memang benar pun.

Bukan dia seorang, kami semua turut merasakan perasaan yang serupa.

Bayangkan baru pagi tadi, hati kami berbunga-bunga gembira bila terima berita sample beberapa kawan kami negatif.

Nah, tiba-tiba petang hari yang sama beberapa rakan kami yang lain diberitakan terpaksa melalui saringan disusuli proses kuarantin 14 hari.

Cerita yang tak berkesudahan!

Semuanya disebabkan terdedah pada pesakit yang degil, sanggup sembunyikan sejarah status kesihatan lalu terlepas masuk ke ruang rawatan yang tak sepatutnya!

Yang buatkan hati bertambah pilu, ada antara kawan kami yang dikuarantin tu, isterinya sedang sarat mengandung.

Ada yang menunggu kepulangannya dirumah, anak yang masih kecil.

Ada yang masih tinggal dengan ibu ayah yang sudah tua dan memiliki penyakit kronik.

Kecewa.

Marah.

Kesal.

Semuanya teradun membentuk sebuah tekanan menghiris hati.

Disebabkan satu dua orang yang buat kerja gila, habis tenggelam kebaikan pesakit lain yang sangat bagus dalam berikan kerjasama.

Kawan-kawan,

Patuhi perintah kerajaan

Selain daripada konsisten patuhi kempen #StayAtHome, amalkan social distancing dan tingkatkan penjagaan kebersihan diri, kami berharap benar agar kalian dapat terus doakan keselamatan kami.

Bantu minta pada Tuhan agar fizikal dan mental kami terus kuat untuk kekal bertempur dalam peperangan ini.

Diberikan kesabaran yang tinggi kepada rakan-rakan kami yang diuji dengan proses kuarantin.

Dikurniakan ketabahan dan ketenangan jiwa buat keluarga mereka.

Kami yakin doa kalian mudah dimakbulkan Tuhan kerana doa ikhlas seorang muslim untuk saudaranya yang lain antara doa yang jadi rebutan malaikat untuk diangkat ke langit.

Daripada Safwan bin Abdillah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

دَعْوَةُ الْمَرْءِ الْمُسْلِمِ لأَخِيهِ بِظَهْرِ الْغَيْبِ مُسْتَجَابَةٌ، عِنْدَ رَأْسِهِ مَلَكٌ مُوَكَّلٌ كُلَّمَا دَعَا لأَخِيهِ بِخَيْرٍ، قَالَ الْمَلَكُ الْمُوَكَّلُ بِهِ: آمِينَ وَلَكَ بِمِثْلٍ

Maksudnya: “Doa seseorang muslim untuk saudaranya secara berjauhan (tanpa pengetahuannya) adalah mustajab.

Di kepalanya (yang berdoa) terdapat malaikat yang diwakilkan kepadanya, setiap kali dia berdoa kepada saudaranya dengan kebaikan maka malaikat yang diwakilkan itu akan berkata: Amin dan bagi engkau seperti itu juga (sama seperti apa yang didoakan itu)”.

Ini yang kita genggam kuat dan kita yakin sepenuh hati.

InsyaAllah ini jugalah senjata paling agung kita dalam berhadapan dengan wabak maut ini.

Dr Ahmad Luqman Bukhari,
Sangat berharap doa dari kalian.

Sumber: Ahmad Luqman Bukhari

Aqmal Ezany

I write what is right

syafiq halim

Top Fan Sepanjang Masa