Siakap Keli
Gambar sekadar hiasan

Gagal Patuhi Perintah Kawalan Pergerakan, 14 Lelaki Direman Di Kota Bharu

Kota Bharu: Tindakan tegas Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam memastikan arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dipatuhi terus terbukti, apabila semakin ramai individu yang gagal mematuhi arahan tersebut, direman hari ini.

Ini termasuk 14 lelaki berusia antara 17 hingga 40 tahun, di Kota Bharu, Kelantan, yang direman antara tiga dan empat hari bermula hari ini hingga Isnin depan, selepas gagal mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan.

Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Kamarul Hasyimie Rosli, di Mahkamah Majistret Kota Bharu di sini, hari ini.

Mereka direman bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 270 Kanun Keseksaan Perintah Kawalan Pergerakan, dan Peraturan 7 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.

Difahamkan kesemua individu berkenaan ditahan di beberapa lokasi di negeri ini, selepas gagal mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan, yang bermula 18 Mac hingga 14 April depan.

Perintah Kawalan Pergerakan dikuatkuasakan kerajaan, dalam usaha menangani wabak COVID-19.

Sumber: Bernama

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.