Siakap Keli
Gambar: Bernama

Wanita Maki Polis ‘Idiot’ Didakwa

Seorang pengurus jualan wanita yang tular di media sosial kerana memaki anggota polis dalam satu sekatan jalan raya Ops COVID-19 dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas dua pertuduhan berkelakuan kurang sopan dan menghalang tugas anggota polis.

Tong Poh Kim, 44, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas kedua-dua pertuduhan itu yang dibacakan di hadapan Majistret Nurshahirah Abdul Salim.

Bagi pertuduhan pertama, Tong didakwa telah berkelakuan kurang sopan terhadap Kpl Izuan Hasim Nor Hamzah dengan berkata, ‘idiot’ (bodoh) terhadapnya pada 9.40 pagi, 31 Mac lepas di Jalan Persiaran Surian di sini, mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 yang membawa hukuman maksimum denda RM100, jika sabit kesalahan.

Dia juga dituduh menghalang Kpl Izuan daripada menjalankan tugas dan fungsi jawatannya di tempat dan masa sama mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Firdaous Mohamed Idris menawarkan jaminan RM1,000 bagi pertuduhan pertama manakala jaminan RM5,000 bagi kesalahan kedua berserta seorang penjamin.

Tertuduh yang diwakili peguam Datuk Suraj Singh memohon jaminan rendah atas alasan anak guamnya tiada risiko untuk melarikan diri selain memberikan kerjasama kepada pihak polis semasa siasatan dijalankan.

Mahkamah membenarkan Tong diikat jamin RM4,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin dan menetapkan 20 Mei untuk sebutan semula kes.

Sumber: BERNAMA

Aqmal Ezany

I write what is right