Siakap Keli
Gambar: BERNAMA

FAMA Johor Beli 100 Tan Metrik Hasil Tanaman Petani Sejak PKP

JOHOR BAHRU, 6 April — Agensi Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Johor membeli sebanyak 100 tan metrik hasil tanaman daripada petani sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri R. Vidyananthan berkata pembelian secara terus itu adalah bagi membantu golongan petani memasarkan hasil tanaman mereka selepas terkesan dengan penularan wabak COVID-19.

Selain melaksanakan belian terus dari ladang, katanya FAMA Johor turut membantu mengatur jualan antara petani dan pemasar serta memperkasa aktiviti jualan secara dalam talian.

Menurutnya sejak 18 Mac hingga 5 April 2020, FAMA Johor membeli 100 tan metrik hasil tanaman seperti nanas MD2 , nanas Josapine, sengkuang, timun, cili merah dan sayur-sayuran berdaun di seluruh negeri Johor yang membabitkan nilai jualan RM200,500 telah dibeli dan dipasarkan.

“Semua produk pertanian ini akan dijual di Pasar Tani Segar Terkawal yang dilaksanakan di semua Pasar Tani Kekal di negeri ini serta turut dipasarkan ke negeri lain dan menerusi jualan dalam talian di www.agrobazaaronline.com.my,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Vidyananthan berkata antara Pasar Tani Kekal FAMA yang dibuka di Johor ialah Pasar Tani Kekal Datin Halimah yang dibuka setiap hari kecuali Selasa mulai pukul 8.00 pagi hingga 2.00 petang); Pasar Tani Kekal Permas Jaya (dibuka setiap hari kecuali Isnin mulai 7.00 pagi hingga 3.00 petang); dan Pasar Tani Kekal Bukit Gambir (dibuka setiap hari dari  7.00 pagi hingga 3.00 petang).

Turut beroperasi ialah Pasar Tani Kekal Endau yang dibuka setiap hari dari pukul 7.00 pagi hingga 12 tengah hari dan Pasar Komuniti dan Karavan (PAKAR) Mersing yang dibuka pada setiap Jumaat dan Sabtu dari pukul 8.00 pagi hingga 12 tengah hari.

“Bagi memudahkan pembelian oleh pengguna, pihak FAMA juga menyediakan kemudahan pembelian secara dalam dalam talian (online) dan tempahan awal (pre-order).

“Pengguna boleh mengunjungi laman web atau memuat turun aplikasi AgrobazaarOnline untuk membuat pembelian,” katanya.

Vidyananthan berkata platform secara dalam talian adalah antara kaedah yang digunakan bagi memudahkan pengguna mendapatkan bekalan dengan kualiti terjamin tanpa perlu risau mengenai situasi semasa terutamanya dalam tempoh PKP ini.

PKP yang dilaksanakan kerajaan sejak 18 Mac dan sepatutnya berakhir pada 31 Mac, dilanjutkan sehingga 14 April ini bagi membendung penularan wabak COVID-19.

— BERNAMA

Adib Mohd