Siakap Keli

Tempoh Diambil Untuk Vaksin Ada Di Pasaran Mungkin Setahun Atau Setahun Setengah- KP Kesihatan

Setakat hari ini, belum ada bukti kukuh bahawa vaksin Bacillus Calmette–Guérin (BCG) boleh mengelakkan jangkitan COVID-19.

Bagaimanapun, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, kajian mengenai vaksin sedang dilaksanakan bersama Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) dan negara-negara lain.

“Kita harap tempoh yang diambil mungkin lebih kurang dalam setahun atau setahun setengah, baru dapat vaksin ini di pasaran, jadi memakan masa.

“Kalau kita jumpa kompaun untuk vaksin dan sebagainya, kita kena laksanakan penyelidikan dahulu dengan negara-negara lain.

“Malaysia mungkin akan dikenal pasti untuk menggunakan vaksin tersebut bagi penyelidikan.

“Tempoh penyelidikan biasanya antara enam hingga sembilan bulan, jadi kita tunggu penyelidikan ini dijalankan,” katanya dalam sidang media Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini.

Dalam pada itu, Hisham menambah, Malaysia dikenal pasti sebagai satu negara yang dimasukkan dalam kajian Solidetary Trial.

“Banyak ubat-ubatan yang kita lihat sebagai kajian untuk pesakit-pesakit kita.

“Sekarang kita gunakan ubat anti-Malaria contohnya, atau anti-HIV tetapi off label use, jadi bukan dalam penyelidikan.

“Apa yang penting, kita perlu ada penyelidikan untuk melihat kesan sampingan dan keberkesanan ubat tersebut.

“Jadi kita harap dengan kajian bersepadu bersama negara lain, dapat kita hasilkan satu penyelidikan dan data-data yang mana kita boleh guna pakai untuk masa depan,” jelasnya lagi.

Sumber: KKM

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'