Siakap Keli

(Video) Jururawat Diberi Tepukan Gemuruh Setelah Sembuh Dari Covid-19 Lepas Dirawat Oleh Rakan Setugas

Seorang jururawat yang hampir maut akibat dijangkiti virus Covid-19 di Aintree Hospital, diberikan penghormatan ketika dibenarkan discaj dari hospital oleh rakan-rakan yang merawatnya.

Keluarga jururawat yang bernama Elaine Ferrigan itu telah dimaklumkan bahawa dia sedang nazak ketika dia dibawa ke unit rawatan rapi Aintree Hospital. Walau bagaimanapun, jururawat berusia 52 tahun tersebut memberikan tindak balas yang baik kepada rawatan yang diberikan.

Selepas hampir dua minggu dirawat, dia akhirnya pulih dan diberikan penghormatan oleh rakan-rakannya sendiri ketika dia sedang melalui kawasan koridor hospital untuk pulang ke rumah.

Keluarga Elaine berkata: “Kami rasa ibu kami mungkin dijangkiti virus Covid-19 sebelum perintah berkurung dilaksanakan lagi. Dia mula menunjukkan simptom demam, dan mula mengasingkan dirinya di rumah.

“Namun dia mula muntah-muntah dan keadaannya bertambah merosot lalu terus dikejarkan ke Aintree Hospital. Sampai satu tahap, doktor memberi amaran kepada kami bahawa keadaannya sangat-sangat teruk dan kami jelas bimbang apabila mendengar amaran doktor tersebut.

“Tetapi ibu saya yang tidak mempunyai apa-apa masalah kesihatan itu dilaporkan memberi tindak balas yang baik kepada rawatan yang diberi. Dia telah dibenarkan discaj semalam dan diberikan tepukan yang gemuruh oleh kakitangan di Aintree.

“Ibu tidak pernah menonton televisyen ketika di hospital dan berasa terkejut selepas mendapat tahu lebih 10,000 orang telah dilaporkan mati akibat daripada virus ini.

“Terdapat pelbagai berita sedih yang berlegar di media sosial, dan kami hanya ingin memberitahu kepada orang ramai berkenaan keadaan ibu sahaja. Dia sangat lemah namun selamat.

“Kami ingin menggesa orang ramai supaya mematuhi penjarakan sosial untuk sama-sama memutuskan rantaian jangkitan. Dan kami ingin mengucapkan terima kasih kepada kakitangan di Aintree Hospital.”

Setakat ini, seramai 165 orang telah dilaporkan meninggal dunia di Liverpool kerana virus Covid-19, termasuk kakitangan hospital bernama Barbara Moore yang diangkat sebagai ‘perwira yang tak didendang’.

Sumber: Metro

Aqmal Ezany

I write what is right

syafiq halim

Top Fan Sepanjang Masa