Siakap Keli

Semua Pemborong, Peniaga Pasar Borong Selayang Perlu Jalani Ujian Covid-19 – Ismail Sabri

Semua pemborong dan peniaga di Pasar Borong Selayang diarahkan untuk menjalani ujian saringan kesihatan Covid-19 sebelum dibenarkan untuk menjalankan perniagaan.

Perkara tersebut diumumkan oleh Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam satu sidang media sebentar tadi. (Rujuk minit video 49:28)

Menurut beliau, arahan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) itu berikutan terdapat kes jangkitan Covid-19 yang dikesan di pasar borong berkenaan.

”Di Pasar Borong Selayang, kita dapati ada kes Covid-19. Jadi, KKM telah pun membuat arahan bahawa semua pemborong dan peniaga di pasar borong mesti melalui ujian kesihatan iaitu swab test.

Kata Ismail Sabri, individu yang telah mendapatkan pengesahan bebas Covid-19 daripada klinik atau swasta, perlu mengemukakannya sebelum dibenarkan untuk masuk ke dalam kawasan pasar untuk menjalankan perniagaan mereka.

”Mereka yang mempunyai pengesahan daripada hospital atau klinik swasta yang mereka pergi, setelah mendapat surat yang mengatakan mereka negatif Covid-19 baru dibenarkan masuk menjalankan perniagaan, ataupun pemandu-pemandu lori untuk mengambil produk dan barangan daripada pasar borong untuk dibawa ke tempat lain,” kata beliau.

Sumber: Sidang Media Perkembangan Terkini PKP

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.