Siakap Keli
Kredit: Mashable SE Asia

Selepas 12 Tahun Penyelidikan, Indonesia Berjaya Hasilkan Durian Tak Berduri

Mesti ramai yang berfikir, “Sudah namanya durian, mestilah berduri. Rambutan, mestilah ‘berambut’.” Tapi tahu tak, sebenarnya ada durian yang tak berduri. Licin dan gondol.

Sekumpulan penyelidik agrikultur di Indonesia telah mendedahkan kejayaan mereka menanam pokok yang mempunyai buah durian yang tidak berduri.

Berbentuk seakan tembikai susu, durian ini mempunyai tekstur kulit yang ‘licin’ dan kelihatan bebas duri.

“Alhamdulillah, saya lega. Orang tak boleh panggil durian botak satu khabar angin lagi,” kata Maisin, Ketua Pemeriksaan dan Perakuan Benih wilayah barat Nusa Tenggara.

Tanpa ‘perisai’ tajam, durian ini lebih mudah dibuka. Menurut Maisin, ia mempunyai rasa yang sama, bahkan lebih manis berbanding durian yang lain, tetapi isinya sedikit nipis.

durian tak berduri
Kredit: Year of the Durian

Proses menanam pokok yang menghasilkan durian ini bermula pada tahun 2007 di Kampung Trenggaluh berhampiran Gunung Rinjani, sebuah gunung berapi aktif di Pulau Lombok, Indonesia. Pasukan agrikultur tempatan telah mengambil sampel dari pokok durian yang menghasilkan buah yang tidak berduri di sana.

Pada awalnya, pemilik pokok tersebut dikatakan ragu-ragu dengan tumbuhan tersebut hingga menyangka ia beracun.

Namun, anak lelaki pemiliknya telah mencuba durian itu dan mendapati rasanya serupa dengan spesies durian lain yang biasa.

Biji dari buah itu kemudiannya digunakan untuk membiakkan lebih banyak durian tidak berduri. Tambah Maisin, hanya dua peratus dari biji benih itu berbunga dan menghasilkan buah dinamakan Durian Gundul.

Sumber: Mashable SE Asia

Amira

Love yourself.

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.